KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menggariskan tiga fokus utama terhadap gesaan beberapa pihak supaya Parlimen bersidang semula dalam keadaan negara masih dibelenggu pandemik Covid-19.
Menteri Luar itu menarik perhatian mengenai fokus pertama iaitu tekanan politik supaya Parlimen dibuka tidak boleh berselindung di sebalik agenda tersembunyi dan tidak boleh dijadikan alat memuaskan keinginan individu tertentu untuk meraih kuasa politik.
Katanya, usaha tersebut telah dilakukan berulang kali dan yang terbaharu pada September 2020 apabila elemen ‘strong, formidable, convincing numbers’ cuba diserap dalam pelbagai senario dan memastikan semua pihak bahawa mereka bersatu untuk meneruskan agenda kembali berkuasa.
Kedua, menurut Hishammuddin, anggota Parlimen yang mendesak supaya Parlimen bersidang semula mesti bersetuju melaksanakan tanggungjawab secara kolektif untuk memastikan sesi Parlimen kelak dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan rakyat dan negara dalam pengurusan Covid-19.
“Agenda negara kita adalah jauh lebih penting daripada cita-cita individu tertentu.
“Perkara ini penting kerana rakyat Malaysia mengharapkan jalan keluar daripada krisis ini dan atas kita sebagai ahli-ahli Parlimen untuk memenuhi harapan ini. Rakyat mahu jumlah kes menurun, mereka mahu nyawa mereka selamat dan ekonomi pulih,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam catatan bertajuk Beyond Politics and Pandemics di https://www.hishammuddin.com.my/post/beyond-politics-and-the-pandemic
Yang ketiga, katanya, situasi sekarang adalah sesuatu yang luar biasa dan di luar jangkaan dengan pelbagai krisis sekaligus termasuklah isu kesihatan, ekonomi serta ketidakstabilan politik.
Menurut Hishammuddin, hakikatnya ‘politiking’ berterusan adalah sesuatu tidak mampu ditempuh pada masa ini.
Oleh itu, katanya, apabila Perdana Menteri mengemukakan Pelan Pemulihan Negara yang bertujuan menyelamatkan rakyat daripada pandemik Covid-19ini, semua pihak seharusnya menyokong dan bukan sebaliknya.
“Pelan ini hanya akan berjaya dengan sokongan serta kerjasama semua pihak, seandainya kita hanya fokus serta bertekad kita akan berjaya.
“Saya setuju Parlimen adalah tempat dan ruang untuk semak dan imbang kerajaan namun ingatlah pada masa sama kita juga perlukan kestabilan politik terlebih dahulu.
“Kestabilan ini mungkin membolehkan Parlimen dibuka semula. Kestabilan ini juga mungkin akan memberikan hak kepada Ahli-ahli Parlimen untuk bertanya soalan dan kerajaan untuk menjawab ketika sesi persidangan.
“Tetapi yang paling mustahak kestabilan ini mestilah tidak dirampas, apa yang paling penting pada masa ini juga adalah menyelesaikan krisis pandemik Covid-19 terlebih dahulu,” ujarnya.
Hishammuddin juga melahirkan kegusaran dengan tindak tanduk segelinitir pihak dalam arena politik yang akhirnya akan menyebabkan Pelan Pemulihan Negara itu terbantut.
Katanya, rakyat tidak boleh diheret ke dalam kancah politik dan perebutan kuasa baharu kerana hakikatnya apa yang penting untuk mereka adalah menyelesaikan penularan Covid-19 ketika era mencabar ini. – MalaysiaGazette
Mana ada kestabilan jika kerajaan minoriti yang memerintah? Apatah lg kerajaan yg diragui keabshannya? Dan lebih teruk lg kerajaan yg gagal sehingga menyebabkan lebih banyak nyawa rakyat hilang…apakah kerajaan seperti ini yg perlu diberikan kuasa mutlak memerintah apabila terbukti gagal! tak malu kah ko Hishamudin..ko tak rasa berdosa kah atas sebab kelemahan kabinet kamu nyawa rakyat melayang? Jgn cakap pasal agenda politik lah sedangka kamu yg sebenarnya punya agenda politik utk kekal berkuasa!