KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat akan menganjurkan Kongres Nasional Tahunan
pada tarikh baharu, 20 Jun 2021.
Makluman terbaharu itu dimaklumkan selepas PKR diarah pada awal bulan ini supaya menangguhkan Kongres Nasional oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketua Setiausaha Pengelola yang juga Pengarah Kongres PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata, kongres itu akan diadakan sepenuhnya dalam talian.
“PKR mengambil keputusan ini selepas merujuk kenyataan media Jabatan Pendaftaran
Pertubuhan (RoS) pada 9 Jun 2021 bertajuk ‘Pelaksanan mesyuarat Agung Pertubuhan Berdaftar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Dalam surat dari RoS kepada PKR pada 21 Mei 2021, PKR diberi masa sehingga 30
Jun untuk melaksanakan Kongres Nasional,” kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 4 Jun lalu, parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima surat daripada MKN yang mengarahkan kongres tahunan mereka yang dijadual diadakan secara maya ditangguhkan.
Jelas Nik Nazmi, arahan MKN ini bertentangan dengan surat bertarikh 27 Mei 2021, yang menyatakan MKN tiada halangan terhadap penganjuran Kongres Nasional PKR secara dalam talian sepenuhnya.
Kongres tahunan ke-15 yang berlangsung selama tiga hari itu, dimulai dengan persidangan Wanita semalam bersama ucapan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, diikuti ucapan dasar Ketua Wanita, Fuziah Salleh.
Ia berakhir dengan persidangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dengan ucapan dasar oleh Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebelum arahan penangguhan dibuat.
Kongres Nasional PKR 2020 akan diadakan bermula jam 8 pagi sehingga jam 2 petang dengan acara kemuncak penggulungan oleh Anwar.
Nik Nazmi berkata, Kongres Nasional parti itu akan fokus tentang isu ekonomi, kesihatan dan pemulihan demokrasi. – MalaysiaGazette