Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

KUALA LUMPUR – Bukit Aman mengesahkan telah menerima satu laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung dakwaan derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, berikutan laporan yang diterima itu, satu siasatan telah dimulakan.

“Siasatan sedang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Sekiranya diperlukan, individu-individu yang berkaitan akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Terdahulu dalam sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKP) di Kementerian Dalam Negeri tengahari tadi, Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengulas laporan polis Pemuda Pakatan Harapan ke atas Takiyuddin.

Beliau berkata, Polis Diraja Malayaisa (PDRM) akan menjalankan siasatan terhadap sesiapa sahaja yang melakukan hasutan sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat.

Polis akan panggil Takiyuddin – Hamzah

“Saya sudah maklumkan sesiapa sahaja yang melakukan penghasutan yang boleh menyebarkan sesuatu kurang senangnya apabila ada laporan yang dibuat polis akan siasat.

“Kadang kala saya nak kamu (wartawan) bagi maklumat lanjut kepada saya, kadang-kadang kamu semua cakap tidak maklumat lanjut menyebabkan orang lain yang jadi masalah.

“Jadi bila ada maklumat lanjut, kita akan siasat apa yang sebenarnya dia cakap,” katanya.

Hamzah berkata, pihak berkuasa akan memastikan dahulu kandungan ucapan Takiyuddin sebelum tindakan boleh diambil terhadap beliau.

“Biarlah polis siasat, supaya kita boleh dapat apa yang dia cakap. Saya akan pastikan dahulu (kandungan ucapan) dan kita akan pergi kepada yang lebih lanjut sebab kita tak boleh terus ambil seksyen mana selagi kita tak tahu,” katanya.

Artikel berkaitan:

Pada Rabu lalu, Takiyuddin dilaporkan sebagai berkata, Yang di-Pertuan Agong hanya menyebut perkataan segera tanpa menetapkan masa tertentu supaya Parlimen bersidang segera.

Menurut beliau, pendirian kerajaan adalah Parlimen akan bersidang pada September atau Oktober iaitu beberapa bulan saja lagi. – MalaysiaGazette