Ashari Abu Samah melakukan pemantaun di kawasan PKPD di PPR Desa Rejang tengahari tadi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 300 kes positif dan tujuh kematian akibat jangkitan Covid-19 dilaporkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak di sini untuk tempoh antara 1 Jun hingga 17 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan maklumat daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dianggarkan terdapat 12,000 penduduk terdiri daripada 70 peratus kaum Melayu, Cina (20 peratus) dan India (10 peratus) di kawasan perumahan yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Berikutan jumlah kes yang meningkat, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kawasan perumahan awam ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat hingga 1 Julai ini untuk mengawal keadaan.

“PPR Desa Rejang ini sendiri merekodkan 300 kes positif Covid-19 yang mana blok F dan L mencatatkan kes yang tertinggi selain tujuh kematian akibat virus maut itu dilaporkan sejak 1 Jun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di PPR Desa Rejang itu.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan PKPD dan operasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengawasi pergerakan penduduk PPR berkenaan bagi memudahkan kerja-kerja saringan Covid-19.

PPR Desa Rejang merupakan kawasan perumahan awam seluas 20.28 ekar (8.21 hektar) meliputi 12 blok dengan 2,791 unit kediaman.

Menurut Ashari, seramai 250 petugas daripada sembilan agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), KKM dan DBKL terlibat di kawasan tersebut.

Munurutnya, pelaksanaan PKPD di kawasan perumahan itu terkawal dan tiada insiden tidak diingini berlaku setakat ini.

Tambah beliau, polis Wangsa Maju akan membantu KKM untuk melicinkan pelaksanaan proses ujian saringan bagi mengenal pasti penduduk yang positif serta kontak rapat Covid-19.

Sementara itu, Ashari mengingatkan penduduk PPR Desa Rejang supaya patuh penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan memberi kerjasama agar proses saringan  berjalan lancar.

“Bagi penduduk yang mempunyai temu janji suntikan vaksin Covid-19 pula, perkara itu sedang dirujuk dengan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sama ada tarikh itu akan ditunda atau pun petugas kesihatan akan ditetapkan di lokasi PKPD berkenaan bagi tujuan itu.

“Perkara ini sudah dipercepatkan dan sedang dibincangkan oleh pihak yang berwajib dan akan akan diputuskan dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette