PETALING JAYA – Seorang pelayan restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap dakwaan memiliki 58 helai pakaian dalam wanita yang juga jirannya.
Tertuduh, Ong Kok Thye, 23 membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Barath Manian.
Kertas pertuduhan terhadap tertuduh dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa oleh kerana tertuduh tidak faham Bahasa Melayu.
Selepas mendengar pertuduhan, tertuduh memberitahu mahkamah dia memahami pertuduhan dan mengaku tidak bersalah sambil memohon kes dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Kuala Sepetang, Selangor telah didapati memiliki 58 helai pakaian wanita iaitu seluar dalam, baju dalam dan seluar pendek yang mana tidak dapat memberi keterangan yang memuaskan bagaimana barang tersebut diperoleh.
Kok Thye didakwa melakukan kesalahan itu pada 15 Jun lalu jam lebih kurang 12.15 tengahari di Blok B-16-02, Condo Ridzuan, Jalan PJS10/24, Dataran Mentari, Petaling Jaya, Selangor.
Suspek dituduh melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zafirah Syed Mustapa yang menawarkan jaminan sebanyak RM1,000 manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan berhubung jumlah jaminan itu.
Majistret Barath bagaimanapun tidak menetapkan jumlah jaminan kepada tertuduh memandangkan tiada penjamin yang hadir ke mahkamah dan menetapkan 9 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.
BACA: Lelaki kemaruk seks curi 58 pakaian dalam wanita
Penyiasatan kes dikendalikan oleh Sarjan Khuwarizmi Shaari dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Dalam kenyataan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid semalam, suspek direman selama empat hari sejak Selasa lalu selepas dicekup kerana mencuri pakaian dalam wanita jirannya.
Mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan pakaian dalam dan mengaitkan suspek yang tinggal di kondominium sama bertanggungjawab atas perbuatan itu.
Polis berjaya mencekup suspek di kondominium berkenaan di bandar Sunway pada Selasa lalu selepas disyaki terlibat dalam perbuatan itu demi memuaskan nafsu syahwatnya.
Katanya suspek mengaku mencuri pakaian dalam mangsa sebelum menunjukkan kepada polis di bilik dia menyimpan pakaian milik mangsa itu.-MalaysiaGazette