KUALA LUMPUR – Penyerang kebangsaan, Safawi Rasid memohon maaf gara-gara tindakannya yang meraikan jaringan tunggal ketika menentang Thailand disifatkan agak keterlaluan sehingga mengundang kecaman netizen.
Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui keraian berkenaan tidak menyenangkan dan turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang sentiasa memberi sokongan kepada skuad kebangsaan.
“Alhamdulillah syukur, terima kasih pada penyokong dan penonton yang selalu ada di belakang kami. Saya minta maaf atas celebration (meraikan) yang tidak menyenangkan itu.
“Perkara ini tidak akan berulang lagi. Maaf sekali lagi,” katanya menerusi akaun Twitternya, semalam.
Sebagai rekod, penyerang berusia 24 tahun itu meledak gol kemenangan menerusi sepakan penalti untuk membantu skuad negara menewaskan Thailand 1-0 pada aksi terakhir pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Rabu lalu.
Sepakan penaltinya berjaya dibaca Chatchai Budprom namun tetap menerjah gawang untuk memberikan tiga mata berharga buat skuad negara, sekali gus menamatkan pusingan kelayakan di tangga ketiga Kumpulan G.
Penyokong bagaimanapun melihat keraian itu agak keterlaluan terutama selepas menyifatkan persembahan Safawi yang agak hambar sepanjang baki kempen kelayakan di Dubai dengan hanya meledak satu gol menerusi sepakan penalti.
Malah, ada juga yang menganggap Safawi sengaja memerli penyokong yang sebelum ini melontarkan pelbagai kritikan di media sosial susulan prestasi yang ditunjukkan pemain itu. – MalaysiaGazette