KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mempertimbang membenarkan rakyat mendapat vaksin terlebih dahulu, kemudian baharu mendaftar dalam aplikasi MySejahtera.
Pendekatan ini, kata Dr Sathia Prakash dapat membantu rakyat menerima vaksin dengan lebih cepat.
Pemilik SPCare Group itu berkata, prosedur sedia ada pemberian vaksin Covid-19 kepada rakyat Malaysia boleh diperbaiki bagi memastikan program ini lebih efisien, sekali gus mengawal penularan pandemik itu.
“Kes masih lagi tinggi, penularan masih lagi berlaku walaupun dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi jawapan terbaik adalah vaksin.
“Seandainya proses itu mengambil masa, perlu menunggu lebih lama mungkin pandemik ini semakin sukar untuk kita bendung dengan jangka masa cepat,” katanya kepada MalaysiaGazette
Beberapa minggu lepas, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata penduduk di kawasan pedalaman di negeri itu akan diberikan suntikan Covid-19 jika mereka berkunjung ke pusat vaksinasi tanpa perlu mendaftarkan diri terlebih dahulu.
Pakar kesihatan menyambut baik kaedah tersebut mahu kaedah itu diperluaskan kepada golongan warga emas di kawasan bandar kerana mereka juga sukar menggunakan telefon pintar dan Internet.
Kaedah yang sama telah digunakan di Singapura, yang mana warga emas berumur 60 ke atas hanya perlu berkunjung ke mana-mana PPV untuk mendapatkan suntikan.
Mengulas keadaan pandemik sekarang, Dr Sathia berkata, biarpun keadaan belum menunjukkan tanda-tanda reda namun suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang rancak dijalankan melegakan umum.
Malah pelbagai inisiatif dilakukan termasuklah membenarkan hospital serta klinik swasta beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selain pelaksanaan suntikan cara pandu lalu untuk golongan OKU wajar dipuji.
Dr Sathia telah memulakan pemberian vaksin di klinik beliau untuk golongan warga emas serta berisiko sejak 8 Jun lalu.
Sehingga kini, SPCare telah memberi suntikan vaksin kepada lebih 400 orang.
Kata Dr Sathia kepada MalaysiaGazette, peluang menyuntik vaksin terutamanya kepada penduduk setempat sememangnya telah memberikan peluang untuk memberi cadangan pembaikan.
“Isu golongan anti vaksin yang sebelum ini banyak diperkatakan mungkin sudah reda sedikit kerana ramai juga sebenarnya semakin terdedah dan memahami kepentingan vaksin pada masa ini.
“Ramai juga yang telah diberikan janji temu untuk suntikan vaksin hadir, ada yang uzur sehingga tidak boleh berjalan dan kita suntik mereka dalam kereta sahaja. Ada juga datang berkerusi roda.
“Ada juga kes-kes kesihatan sakit kronik termasuklah kanser, hipertensi, kencing dan sebagainya namun masing-masing kuat dan mahu diri divaksin untuk kebaikan diri sendiri dan juga umum.Umur bukan penghalang,” katanya.
Tetapi pada masa sama, beliau mahu kerajaan menimbangkan cadangan suntik dulu kemudian daftar kerana apabila ramai tahu SPCare menjadi pusat PPV, mereka terus datang kerana menyangka suntikan boleh diberi.
Ada juga tidak tahu cara menggunakan aplikasi MySejahtera terutama golongan warga emas, malah, ada juga individu yang beranggapan suntikan boleh diperoleh secara ‘walk in’ sahaja.
“Pelbagai alasan dan juga aduan yang diberikan oleh mereka kepada kami. Ada juga kerana ketidaktentuan akses Internet dan talian telefon kawasan pedalaman, lokasi PPV antara punca semua kesulitan ini.
“Malang sekali kerana kita di SPCare terpaksa menjelaskan kepada mereka dan hantar balik dan tunggu sehingga mereka mendapat temujanji. – Malaysiagazette