Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini memutuskan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Kampung Nelayan, Batu 10, Sandakan, Sabah mulai lusa hingga 4 Julai ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu dibuat selepas diadakan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan situasi kes Covid-19 di Kampung Nelayan, Batu 10, Sandakan, Sabah dan mengesahkan ada peningkatan ketara kes di lokaliti ini.

“Sebanyak 19 kes positif direkodkan hasil daripada 29 orang yang disaring dengan kadar positiviti 65.51 peratus,” katanya dalam kenyataan mengenai status terkini pelaksanaan PKP 3.0, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD itu adalah bagi memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan seterusnya mengekang penularan jangkitan wabak tersebut ke komuniti lain.

Sementara itu beberapa lagi kawasan yang dikenakan PKPD akan ditamatkan esok.

Kawasan-kawasan itu adalah di Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh, Pahang; Asrama Pekerja Kilang Eco Medi Glove, Jalan
Tembaga Kuning, Mukim Taiping, daerah LMS, Perak; Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau, Sabah dan 3 perkampungan di Tawau, Sabah. – MalaysiaGazette