Muhammad Sanusi Md. Nor

KUALA LUMPUR – Kerajaan Kedah akan menangguhkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sehingga Parlimen selesai bersidang.

Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tiada persidangan sama ada secara maya atau hibrid diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Lazimnya kata beliau, persidangan DUN akan diadakan pada Julai atau Ogos, tetapi kerana berdepan dengan kekangan penularan wabak Covid-19, ia tidak dapat dilaksanakan.

“Lebih-lebih lagi buat masa kini masih terikat dengan ordinan darurat yang tidak membenarkan persidangan DUN diadakan,” katanya sebagaimana dilaporkan Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada gesaan Pakatan Harapan (PH) Kedah agar persidangan DUN negeri itu dibuka segera.

Melalui laporan media tempatan kelmarin, PH Kedah menggesa Muhammad Sanusi mengadap Tuanku Sultan Kedah dengan kadar segera bagi memohon perkenan baginda pembukaan semula persidangan DUN.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, ordinan darurat itu bukan sahaja tidak membenarkan DUN dan Parlimen bersidang, malah melibatkan Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sepanjang tempoh itu.

Katanya, kerajaan negeri akan meneliti dan merujuk kepada format dan SOP Parlimen terlebih dahulu sebagai panduan sebelum diadakan di peringkat negeri.

“Kita akan adakan sesi sidang DUN Kedah selepas Parlimen bersidang sama ada secara semuka atau maya, kita tunggu perkembangan semasa.

“Kemungkinan juga persidangan hanya melibatkan ADUN-ADUN dan pegawai kerajaan tanpa kehadiran pemerhati, tetapi diadakan secara langsung di laman Facebook rasmi kerajaan negeri,” katanya.

Kali terakhir DUN Kedah bersidang pada 15 hingga 19 November 2020 yang melibatkan pembentangan Belanjawan Kedah 2021.

Ia diadakan dengan mematuhi SOP ketat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM). – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.