KUALA LUMPUR – Sebanyak 80 peratus warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kuala Lumpur dan ahli keluarga mereka telah menerima suntikan vaksin Covid-19.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yong Lei Choo berkata, ia melibatkan 7,360 daripada 9,200 pengawai dan anggota yang bertugas di ibu negara.
“Kita harap akan capai 100 peratus pegawai dan anggota serta ahli keluarganya menerima suntikan kedua-dua dos vaksin menjelang Ogos ini sepertimana yang disasarkan Menteri, Tan Sri Annuar Musa dalam kenyataannya akan mencapai ibu negara sebagai wilayah pertama di negara mencapai imuniti berkelompok melengkapkan vaksinasi 100 peratus,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata selepas meninjau Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah di Dewan Serbaguna, Perumahan Desa Rasik, Sungai Besi.
Tambah beliau, seramai 3,600 orang di perumahan itu akan menerima vaksin selama enam hari yang bermula hari.
Sementara itu, Lei Choo berkata, program kedua pemberian vaksin membabitkan warga PDRM IPK KL akan berlangsung pada Khamis ini di Perumahan PDRM Desa Aman 1 dan 2 yang membabitkan 2,400 anggota dan pegawai dan ahli keluarga mereka. – MalaysiaGazette