KUALA LUMPUR – Badan induk bola sepak Asia, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sedang mempertimbangkan untuk membatalkan saingan Piala AFC 2021 Zon ASEAN kerana kesukaran untuk mencari tuan rumah bagi saingan tersebut.
Perkembangan terkini itu dikongsikan Asean Football di laman media sosial Twitter.
Sehingga kini, masih belum ada negara yang bersedia untuk menjadi tuan rumah.
Menurut Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, tiada negara dari pasukan bertanding mahupun venue neutral yang bersedia untuk menjadi tuan rumah ekoran pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.
Oleh itu, beliau telah mengarahkan jawatankuasa pertandingan untuk membuat keputusan mengenai nasib saingan Piala AFC zon ASEAN pada minggu ini.
Sebelum ini, Singapura dipilih menjadi tuan rumah bagi saingan peringkat kumpulan namun negara itu memutuskan untuk menarik diri atas sebab-sebab tertentu.
Dua kelab Liga Malaysia, Terengganu dan Kedah Darul Aman menjadi wakil negara dalam saingan edisi 2021. – MalaysiaGazette