KUALA LUMPUR – Axiata Group Bhd, Telenor Asia Pte Ltd and Digi.Com Bhd telah memuktamadkan kajian daya maju dan perjanjian transaksi bagi cadangan penggabungan Celcom Axiata Bhd dan Digi (MergeCo).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, pihak-pihak berkenaan mengesahkan hasrat untuk mewujudkan penyedia perkhidmatan konvergensi digital yang lebih kuat dan lebih berdaya tahan secara komersial.

Kenyataan itu mengatakan secara proforma, MergeCo akan memiliki kira-kira 19 juta pelanggan dengan perolehan RM12.4 bilion, pendapatan sebelum cukai RM5.7 bilion, keuntungan selepas cukai RM1.9 bilion dan aliran tunai bebas RM4 bilion .

Axiata dan Telenor masing-masing akan memegang saham yang sama sebanyak 33.1% dalam MergeCo, yang akan terus disenaraikan di bursa tempatan dan akan bergabung nilai ekuiti pra-sinergi hampir RM50 bilion.

Syarikat-syarikat berkenaan berkata, fasa perancangan integrasi akan merangkumi kerja terperinci mengenai sinergi dan rancangan perniagaan MergeCo dan anggaran awal menunjukkan peningkatan nilai berpotensi melalui sinergi kos dan perbelanjaan modal sekitar RM8 bilion berdasarkan nilai kini bersih.

MergeCo bertujuan untuk membuat pelaburan hingga RM250 juta dalam tempoh lima tahun untuk membina pusat inovasi bertaraf dunia di Kuala Lumpur dengan tujuan untuk menjadi pemangkin revolusi industri 4.0 transformasi digital, memperkukuhkan ekosistem tempatan, sekali gus menjadikan Malaysia di barisan hadapan global evolusi digital.

Pusat inovasi itu akan melakukan penyelidikan dan pengembangan yang luas, mengembangkan kes penggunaan 5G, menyokong startup digital tempatan, dan menyediakan platform untuk memupuk penciptaan tenaga kerja berasaskan pengetahuan sesuai dengan aspirasi di bawah rangka kerja MyDIGITAL kerajaan.

Datuk Izzaddin Idris, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata berkata, kedua-dua pihak mencapai kemajuan yang baik dalam pelaksanaan penggabungan yang sedang berlangsung.

“Dengan peralihan yang lancar, kami menjangkakan untuk melihat peningkatan dalam keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan margin aliran tunai dalam entiti gabungan seiring dengan komitmen berterusan kami untuk memaksimumkan pembayaran dividen bagi para pemegang saham kami,” katanya.

Sementara itu, Naib Eksekutif Presiden dan Ketua Telenor Group Asia, Jørgen A Rostrup berkata, kumpulan itu gembira untuk menjadi rakan Axiata bagi merealisasilan potensi penggabungan syarikat berkenaan.

Izzaddin akan akan dilantik sebagai pengerusi, manakala Rostrup adalah timbalan MergeCo yang akan dinamakan Celcom Digi Bhd selepas mendapat persetujuan pemegang saham.

Idham Nawawi dan Albern Murty masing-masing akan bertindak sebagai ketua dan timbalan pegawai eksekutif.

Dari aspek kepentingan nasional, Axiata dan pemegang saham institusi utama Malaysia dijangka memiliki lebih dari 51% MergeCo setelah transaksi selesai.

Kedua-dua pihak telah menyatakan komitmen untuk melindungi pekerja tanpa ada pemberhentian secara paksa.

Setelah transaksi selesai, Axiata akan menerima saham biasa yang baharu diterbitkan dalam Digi, mewakili 33.1% daripada modal saham terbitan Digi yang ditambah, pertimbangan tunai sebanyak RM2 bilion, yang mana RM1.7 bilion akan diperoleh dari Digi sebagai hutang di MergeCo dan kira-kira RM300 juta dari Telenor sebagai sebahagian daripada pemilikan sama rata berdasarkan syarat penggabungan yang dicadangkan.

Penggabungan yang dicadangkan itu dijangka selesai pada suku kedua 2022 dan ia tertakluk kepada kelulusan yang berkaitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast