Seorang penduduk menerima suntikan vaksin di dalam sebuah bas yang digunakan sebagai pusat vaksin bergerak sempena kempen 'Vaksinasi COVID-19@Wilayah Prihatin' ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dewan PPR Gombak Setia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,611 kes positif baharu Covid-19 direkodkan pada hari ini berbanding 5,293 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes jangkitan Covid-19 di Selangor masih tertinggi dengan 1,346 kes.

“Sehingga 21 Jun 2021, jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan adalah 4,611 kes (701,019 kes) dengan Selangor 1,346 kes, Sarawak 682, Perak 453, Negeri Sembilan 437, Kuala Lumpur 310 dan Johor 314.

“Manakala Melaka 205, Kelantan 219, Sabah 166, Kedah 182, Labuan 130, Pulau Pinang 84, Pahang 50, Terengganu 18, dan Putrajaya 15 kes,” katanya menerusi akaun Twitter, hari ini.

Perlis bagaimanapun tidak mencatatkan sebarang kes positif Cociv-19 sehingga jam 12 tengahari ini.

Daripada 4,611, sejumlah 4,590 kes adalah penularan tempatan dan 21 melibatkan kes import.

Jika semalam, 5,941 kes didapati sembuh, hari ini sejumlah 5,439 kes sembuh direkodkan.

Jumlah itu menjadikan kes sembuh sepenuhnya daripada positif Covid-19 adalah sebanyak 633,624 kes.

Dalam pada itu, jumlah kes kematian juga meningkat berbanding semalam.

Sejumlah 69 kes kematian direkodkan hari ini dengan jumlah keseluruhan korban ekoran positif Covid-19 kini di paras 4,477 kes.

Noor Hisham turut berkata kes yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) adalah sebanyak 880 dengan 452 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sejumah 62,918 kes aktif direkodkan setakat ini. – MalaysiaGazette.