Pakar Bedah Kanser Usus Besar, Dr Luqman Mazlan

KUALA LUMPUR – Kanser adalah satu penyakit yang mengubah kehidupan seseorang sekelip mata dan kadangkala mereka hilang pertimbangan.

Malah seseorang pesakit selalu terdorong menjalani pelbagai perubatan alternatif termasuk rawatan tradisional serta ada juga dalam kalangan mereka mencuba ilmu ghaib bagi mencari penawar kanser.

Seorang Pakar Bedah Kanser Usus Besar Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Luqman Mazlan menceritakan pengalaman enam bulan lepas di mana seorang pesakitnya yang disahkan menghidap kanser usus besar terpedaya apabila ditipu seorang individu bergelar ‘ustaz’.

Pesakit itu menghilangkan diri dan tidak meneruskan rawatan dan tiba-tiba datang berjumpanya dengan membawa ‘sampel kanser’ dalam beg plastik kononnya ketumbuhan itu telah berjaya dikeluarkan oleh seorang ustaz tanpa melakukan sebarang pembedahan.

“Saya kemudian meminta izin daripada pesakit itu membuat ujian terhadap sampel yang dibawa itu. Selepas dihantar ke makmal, rupa-rupanya ‘kanser’ tersebut adalah cebisan daging ayam,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Akibatnya, pesakit itu terpaksa menjalani pembedahan lebih kompleks kerana kansernya sudah melarat, katanya.

Beliau turut menasihati umum yang menunjukkan tanda-tanda seperti perubahan kekerapan membuang air besar, sakit perut berpanjangan dan pembuangan najis berdarah supaya datang ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kanser jenis ini yang juga dipanggil kanser kolon menunjukkan peningkatan drastik dalam kalangan lelaki dewasa di Malaysia,” ujarnya lagi.

Malah Laporan Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016 yang diterbitkan pada tahun 2019 menunjukkan sebanyak 14.8 peratus daripada kes kanser yang dilaporkan dalam kalangan lelaki adalah kanser usus besar diikuti oleh kanser paru-paru (13.2 peratus),” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi Pakar Bedah Payudara dan Endokrin, Dr. Azlina Firzah Abdul Aziz turut berkongsi kisah tersendiri dalam menrawat pesakit kanser yang kadangkala terdesak menggunakan rawatan alternatif sehingga terpadaya.

Dengan pengalaman luas lebih 20 tahun, beliau telah berdepan dengan ramai wanita yang mengalami tekanan selepas mengetahui diagnosis mereka.

Pakar Bedah Payudara dan Endokrin, Dr. Azlina Firzah Abdul Aziz

“Sebagai seorang wanita, saya juga memahami perasaan wanita lain apabila mereka mendengar tentang kanser payudara. Mereka takut kehilangan ‘aset kewanitaan’ mereka hingga mencari pengamal perubatan ghaib yang menjanjikan kesembuhan tanpa perlu pembedahan.

“Seorang pesakit saya juga pernah menghilangkan diri. Kami cuba hubungi kembali tetapi gagal sehinggalah satu hari wanita itu datang berjumpa saya dan menunjukkan kesan parut di bahagian payudaranya.

“MasyaAllah, rupa-rupanya bomoh yang merawatnya itu menggunakan pisau untuk mengeluarkan ketulan kanser tersebut. Saya terkejut tetapi sebagai pakar perubatan profesional, saya perlu menjalankan tugas saya untuk menyelamatkan pesakit saya walaupun sudah melarat sebegitu,” ujarnya.

Dr Azlina berkata, kanser payudara merupakan kanser yang paling banyak menyerang kaum wanita di Malaysia dengan kadar 34.1 peratus berbanding dengan kanser lain.

Jelasnya walaupun inisiatif kebangsaan mengesyorkan ujian saringan mamogram ke atas wanita yang berusia 40 tahun ke atas, beliau berharap supaya wanita lebih muda mengadakan ujian pemeriksaan payudara sendiri secara bulanan dan diikuti oleh saringan ultrasound. 

“Sekiranya wanita itu mempunyai sejarah kanser payudara dalam kalangan keluarga terdekat seperti ibu dan adik-beradik dinasihatkan untuk membuat ujian saringan dan mendapatkan rundingan secepat mungkin oleh doktor pakar.

“Niat saya bukan takutkan anda sebaliknya jika rawatan kanser payudara ditunda, kos perubatannya juga mungkin bertambah,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast