Lim Kit Siang. foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentuk sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan dibidas Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu berkata, jawatankuasa tersebut tidak membawa apa-apa makna sekiranya persidangan Parlimen telah ditetapkan September depan.

“Janji Perdana Menteri ini tidak bermakna apa-apa sekiranya Parlimen hanya akan dipanggil bersidang semula pada bulan September atau Oktober di bawah Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara, yang tertakluk kepada tiga syarat: secara purata, kurang daripada 2,000 kes Covid-19 dicatatkan setiap hari, jumlah kapasiti katil unit rawatan rapi mula mencukupi, dan sehingga 40% populasi dalam negara telah diberikan vaksin sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kit Siang merujuk kepada kenyataan Muhyiddin bahawa jawatankuasa itu akan membuat keputusan pembukaan persidangan Parlimen yang terdiri daripada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang di dalam jawatankuasa berkenaan.

Muhyiddin semalam berkata, pihaknya akan memasukkan anggota pembangkang dalam jawatankuasa tersebut untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.

Jelasnya, kerajaan antara lain perlu mengambil kira sama ada persidangan boleh diadakan secara fizikal, dan sama ada pelaksanaan secara hibrid selari adalah dengan peruntukan di dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat.

Selain itu, jelasnya, wujud juga keperluan untuk mengambil kira soal persiapan Parlimen bagi urusan persidangan secara fizikal itu sendiri, termasuk aturan tempat duduk Ahli Parlimen yang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, Kit Siang, berkata tidak cukup untuk Muhyiddin hanya menjanjikan untuk melibatkan pembangkang dalam mengkaji pembukaan semula Parlimen dan sama ada ia akan diadakan dalam bentuk hibrid.

“Beliau perlu memberikan komitmen bahawa Parlimen akan dipanggil bersidang sebelum 1 Ogos.

“Tidak cukup untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk hanya menjanjikan untuk melibatkan Pembangkang dalam mengkaji pembukaan semula Parlimen dan sama ada ia akan diadakan dalam bentuk hibrid, sebaliknya beliau perlu memberikan komitmen bahawa Parlimen akan dipanggil bersidang sebelum 1 Ogos untuk menunjukkan yang pihak eksekutif tidak cuba untuk sabotaj harapan Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja untuk kita semua menang melawan Covid-19,” katanya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut mempersoalkan bagaimana jika jawatankuasa itu tidak berfungsi sepertimana yang Muhyiddin mahukan dan sidang Parlimen tidak juga dibuka menjelang September.

“Adakah Parlimen akan digantung selamanya?

“Tidak ada apa-apa untuk mana-mana Ahli Parlimen, baik daripada pihak Kerajaan mahupun pembangkang, “nilai” mengenai sama ada Parlimen patut bersidang sebelum 1 Ogos, memandangkan Parlimen perlu bersidang sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh masa enam bulan.

“Kali terakhir Parlimen bersidang adalah pada 17 Disember 2020, dan persidangan ini telah ditangguhkan melalui penggantungan sidang yang tidak sah secara perlembagaan,” katanya lagi.

Minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette