Azhari Shaari
Azhari Shaari

KUALA LUMPUR – Cadangan UMNO yang mahu persidangan Parlimen dilakukan dalam tempoh 14 hari akan datang bukan bermotifkan politik semata-mata.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, cadangan itu bagi memastikan rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat pembelaan segera.

“Sidang Parlimen yang dicadangkan UMNO untuk diadakan dalam masa 14 hari bukan cadangan politik, tetapi demi rakyat yang sedang menderita kerana poket semakin menipis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendesak kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-Raja Melayu dan memanggil sidang Parlimen diadakan dalam tempoh 14 hari.

Ahmad Zahid berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Pemerintah.

Dalam pada itu, usaha untuk menyegerakan sidang Parlimen adalah bagi membincangkan hala tuju perancangan ekonomi negara pasca PKP.

“Ramai merungut kerana sumber kewangan keluarga tidak mencukupi disebabkan bukan semua pekerjaan dalam sektor perkhidmatan penting.

“Bukit kalau ditarah lama-lama jadi busut. Begitu juga belanja seharian demi kelangsungan hidup.

“Bil elektrik entah bila hendak diumumkan rebat, yang pasti bayaran sahaja ditangguhkan tetapi hutang tetap hutang.

“Moratorium yang diminta pun masih tiada keputusan konkrit, seolah-olah rakyat di rumah kerjanya mencetak duit,” katanya.

Tambah beliau, sewajarnya Parlimen dibuka segera demi rakyat dan masa depan negara, malah mungkin Pelan Strategik Pemulihan Ekonomi dapat digariskan.

“Jangan dijadikan Parlimen isu yang disorong tarik kerana di situlah mandat rakyat diterjemahkan untuk membela rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast