Seorang pengasuh taska, Nur Fatin Nabila Azmi, 23 didakwa atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak di taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di sebuah hospital di Kompleks Mahkamah Sepang. foto SYAFIQ AMBAK, 21 JUN 2021.

SEPANG – Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini selepas didakwa mendera kanak-kanak berusia setahun lapan bulan di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di sebuah hospital di Serdang, 8 Jun lalu.

Tertuduh, Nur Fatin Nabila Azmi, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nor Hisham Ahmad Jaafar.

Mengikut pertuduhan, pada 8 Jun 2021, kira-kira jam 10.30 pagi di bilik tidur kanak-kanak sebuah taska di kediaman kakitangan Hospital Serdang, Jalan Puchong, Kajang, tertuduh telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fikizal.

Bagi pertuduhan itu, Nur Fatin didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Akta ini memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya, Aiza Ali Raman, menawarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Peguam, Mohamad Naim Mahmud, memohon ikat jamin dikurangkan mengambil kira tanggungan tertuduh yang mempunyai ibu bapa uzur dan berpenyakit darah tinggi dan kencing manis.

Mahkamah membenarkan ikat jamin dikurangkan kepada RM10,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di balai polis terdekat, setiap awal bulan.

Mahkamah mengarahkan tertuduh menjauhkan diri daripada kanak-kanak sehingga perbicaraan itu selesai.

Mahkamah menetapkan 26 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes itu. – MalaysiaGazette