KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya berhubung pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar parlimen segera bersidang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan tersebut.
Jelasnya, pendirian itu selari dengan asas UMNO yang memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO,
Tegas beliau, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak perlulah berdolak-dalik lagi dengan istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kedua-dua kenyataan media media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah.
”Kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Pemerintah,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan di sini.
Ujar beliau, UMNO menyokong penuh kedua-dua kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.
”Sebagaimana yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, UMNO berpendirian parlimen amat mustahak untuk diadakan bagi segera membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani pandemik Covid-19 di samping memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette