Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas mendukung usaha Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentuk sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang bagi meneliti aspek penting sebelum mengadakan sidang Parlimen.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, perkembangan yang berlaku itu menunjukkan kerajaan komited melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Menurutnya, kerajaan mendukung prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang menjadi teras kedaulatan negara.

“Pas meyakini kerajaan sedang memperhalusi semua aspek dengan teliti supaya pelaksanaan sidang Parlimen berjalan dengan berkesan.

“Keupayaan dan kebersediaan daripada segenap aspek diusahakan sebaik mungkin agar selari dengan peruntukan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan.

Kelmarin, Perdana Menteri memaklumkan, sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang telah dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.

Katanya, kerajaan memberi komitmen bahawa keputusan pembukaan persidangan Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang di dalam jawatankuasa berkenaan.

Jelasnya, sama ada persidangan akan dibuat secara hibrid atau fizikal, ia akan dirujuk kepada peraturan tetap yang ada sekarang.

Dalam pada itu Kamaruzaman juga berkata, Pas mendukung usaha Perdana Menteri membentuk sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang untuk meneliti aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan. – MalaysiaGazette