KUALA LUMPUR – Rekaan dua kumpulan pelajar daripada Sekolah Seni Bina dan Alam Bina (SABE) Universiti UCSI berjaya menambat hati juri dalam pertandingan Shaftsbury
Square Facade Uplift 2021, baru-baru ini.

Kumpulan Zeus yang diwakili Tan Li Ye, John Lau Yong Hao dan Khoo Li Wen muncul juara
sementara Pasukan Eldian yang diwakili Law Jun Li, Abigail Joshua Wong Yan Lin serta Guma Sylvester Makajil dinobatkan sebagai naib juara.

Pertandingan anjuran Shaftsbury Square ini menawarkan hadiah wang tunai, trofi dan sijil serta peluang bagi rekaan pemenang diabadikan di bangunan tersebut.

Pensyarah merangkap penasihat kepada dua kumpulan ini, Chan Chiew Chuen berkata, kesemua pelajar terlibat daripada program Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina Dengan Kepujian itu mengambil inisiatif sendiri dalam merangka perancangan seni bida mengikut syarat pertandingan.

“Mereka sendiri mengambil inisiatif untuk menyertai pertandingan ini dan membentuk kumpulan mengikut kepakaran masing-masing sebelum meminta saya menjadi penasihat mereka.

“Mereka mempamerkan kerjasama dan menunjukkan kreativiti dalam menghasilkan rekaan-rekaan ini walau hanya dalam masa yang singkat. Mereka gunakan segala ilmu yang dipelajari dan melahirkannya dalam rekaan,” katanya.

Tambahnya, melalui pertandingan ini, pelajar-pelajar dapat memahami situasi sebenar dalam menghaslkan rekaan termasuk meningkatkan kemahiran menganalisa.

“Mereka dapat tahu keadaan tapak, keadaan semasa melibatkan rutin harian kedai-kedai dan bazar serta memahami bahan sesuai yang bakal melengkapkan bangunan sedia ada. Lebih banyak maklumat dikumpulkan, rekaan akan lebih jelas.

“Secara tak langsung, mereka memperoleh kemahiran sepanjang hayat termasuk kemampuan mengumpul maklumat, menganalisa dan mengaplikasi pemikiran kritis bagi menghasilkan cadangan yang terbaik,” katanya.

Katanya lagi, pertandingan seumpama itu merupakan peluang baik untuk pelajar menerapkan pegetahuan yang dipelajari dengan bersaing bersama pereka yang lain malah ia memberi nilai tambah kepada mereka apabila mencari pekerjaan kelak.

Sementara itu, Timbalan Dekan SABE, Penolong Profesor Ar. Chia Lin Lin berkata, pertandingan itu memotivasikan pelajar dalam menghasilkan rekaan yang menggabungkan antara kreativiti dan praktikal.

“Saya sangat teruja dapat melihat pelajar-pelajar bersemangat menyahut cabaran ketika sedang berdepan pandemik. Pertandingan ini menjadi platform terbaik untuk mereka belajar dari luar kawalan sistem pendidikan,”katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast