BUKIT MERTAJAM – Kira-kira 68 peniaga tepi jalan di Pasar Awam Bukit Mertajam, di sini, meminta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) membenarkan mereka beroperasi semula.
Rayuan itu diminta peniaga berkenaan susulan sudah 22 hari tidak berniaga hingga menyebabkan rata-rata mereka kehilangan sumber pendapatan, sekali gus terpaksa menganggung kerugian.
Difahamkan, kawasan tersebut ditutup 10 hari ekoran 31 peniaga dalam pasar awam berkenaan positif Covid-19.
Namun selepas pengoperasian semula, penjaja tepi jalan tidak dibenarkan berniaga dengan alasan mahu menyekat penularan Covid-19 di kawasan itu.
Menurut Noorzihad Abdullah, 56, dia yang berniaga ayam di kawasan itu mengalami kerugian hampir RM10,000 akibat tidak dibenarkan berniaga hampir sebulan.
Dia yang sudah berniaga hampir 31 tahun itu mengakui peniaga tepi jalan tidak mempunyai lesen namun tindakan drastik ini membuatkan mereka tersepit untuk membayar gaji pekerja.
Jelas Noorzihad, kesan ini bukan saja untuk peniaga malah keluarga pekerja yang mengharapkan pendapatan daripada hasil perniagaan ini untuk kelangsungan hidup.
“Dalam tempoh 31 tahun ini merupakan kali pertama kami tidak boleh berniaga.
“Memang kami akui tidak mempunyai lesen tapi sudah beberapa kali kami memohon tetapi pihak MBSP hanya tampil membuat bancian tetapi tiada tindakan lanjut.
“Sebelum ini, kami membayar satu hari sebanyak RM2 sebagai sewa untuk berniaga tetapi sejak 2008, ia sudah tidak dikutip lagi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, peniaga sudah mengadakan perbincangan bersama MBSP pada Ahad lepas namun majlis itu gagal memberikan satu tarikh yang membolehkan peniaga beroperasi semula.
“Tiada jawapan diberikan sehingga hari ini membuatkan kami terpaksa memanggil pihak media bagi memberikan penjelasan atas kejadian yang menimpa peniaga di sini,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga sayur, B. Muniswary, 43, berkata, keluarganya kini bergantung penuh dengan pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori.
Katanya, kebenaran membuka semula operasi perniagaan di tepi jalan pasar awam itu akan membantu sedikit sebanyak perbelanjaan keluarganya memandangkan wang simpanannya hampir habis digunakan ketika ini.
“Saya harap MBSP cepatkan proses membenarkan kami beroperasi semula kerana ini saja sumber sampingan saya untuk menampung perbelanjaan keluarga,” kata Muniswary.
Seorang lagi peniaga, Jerry Ang, 42, berkata, dia harap MBSP mempertimbangkan permohonan semua peniaga di sini yang rata-ratanya sudah berniaga lebih 20 tahun.
“Kebanyakan peniaga di sini meneruskan legasi orang tua masing-masing dan ini saja hasil pendapatan kami,” katanya yang merupakan peniaga ikan. – MalaysiaGazette