Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin transition phase National Recovery Plan total lockdown full movement control order 3.0
Muhyiddin Yassin

TANGKAK – Keputusan sama ada peralihan fasa kedua dalam Pelan Pemulihan Negara akan diputuskan selepas kerajaan menilai situasi semasa Covid-19.

Keputusan itu jelas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang dijadualkan tamat pada 28 Jun ini.

“Walaupun kerajaan sudah tentukan tarikh, tempoh kadar, katil-katil ICU, dia ada nilai ambang tetapi kita perlu faham keadaan sentiasa berubah-ubah disebabkan itu kita buat sedikit adjustment.

“Itu akan diputuskan dalam sidang MKN (Majlis Keselamatan Negara) yang dipengerusikan saya untuk kita menilai keadaan sementara ini kita kekal sebagaimana yang ada,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Muafakat Bukit Gambir di sini hari ini.

Berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rancangan kerajaan untuk beralih ke fasa seterusnya ekoran baki enam hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 tamat pada 28 Jun ini dengan kadar kes masih di atas 4,000 kes.

Kata Muhyiddin, meskipun kerajaan telah menentukan sasaran seperti tarikh, tempoh, kadar jumlah kes, proses vaksinasi serta kapasiti penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) namun ia sentiasa berubah menyebabkan kerajaan tidak boleh memutuskan keputusan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) dan seluruh sistem yang ada bagi memastikan kaedah intervensi yang boleh dilakukan.

“Misal kata, data itu masih tinggi sedikit, kita nak turunkan bawah 4,000 kes, hari ni 4,743 kes, jadi tidak jauh dari sasaran.

“Apa pun kita nak tengok apa intervensi yang pihak KKM dan semua sistem yang ada untuk mengawal dan perlu lihat keadaan itu tetapi itu sahaja tidak mencukupi tanpa penglibatan masyarakat untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk pastikan mereka ikut, bukan sahaja anggota masyarakat tetapi juga kilang serta ahli komuniti dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga dalam masa sama menekankan mengenai pentingnya proses vaksinasi dipercepatkan agar keadaan lebih terkawal dan proses penurunan kes positif akan lebih cepat lagi.

“Kita ada beberapa hari lagi sahaja (sebelum 28 Jun). Ya, kalau sekiranya kadar (kes positif) itu boleh turun lagi..bermakna ikut jadual yang kita harapkan, maka kita akan beralih ke fasa kedua itu keadaannya.

“Jadi disebabkan itu, kita tidak akan buat pengumuman sekarang. Biasanya kita akan bagi ruang dua tiga hari lagi, sama ada kita nak sambung atau kita akan beralih (ke fasa seterusnya),” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham berkata, untuk negara beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara, purata kes Covid-19 di Malaysia perlu berada di bawah 4,000 kes sehari selama tujuh hari berturut-turut.

Selain itu, beliau berkata, kapasiti katil di ICU juga perlu mencapai paras 75 peratus ke bawah di samping 10 peratus populasi yang telah divaksin.-MalaysiaGazette