KUALA LUMPUR – Rangkaian produk inovasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah dengan menggondol 2 anugerah khas, 2 pingat emas dan 2 pingat
gangsa di Malaysia Technology Expo 2021 (MTE): Covid19 International Innovation
Awards.

MTE 2021: Covid19 International Innovation Awards mencungkil produk-produk
inovasi berprestij bertaraf dunia ini telah berlangsung pada 14 hingga 18 Jun 2021
dan ianya lebih terfokus kepada inovasi serta pembaharuan berkaitan isu dan
permaslahatan pandemik Covid19.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan ini
terus memacu momentum keunggulan UTeM dalam menyemarakkan dunia inovasi
yang memberikan sumbangan berimpak kepada dunia.

Jelasnya, budaya inovasi UTeM terus menyemarak dan dinamik selari dengan
permintaan semasa dunia yang mana UTeM turut sama menyumbangkan rangkaian
hasil inovasi berimpak bagi memudahkan komuniti global dalam persekitaran
pandemik kini.

“Kejayaan ini tentunya menzahirkan impak keberadaan UTeM yang memberikan
sumbangan langsung kepada masyarakat serta komuniti dunia selaras dengan
konsep tunai iaitu Technology at University Advancing Industry and Community,”
ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

MTE 2021: Covid19 International Innovation Awards menyaksikan 2 produk inovasi
UTeM menyerlah apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah MTE 2021 Covid
19 Outstanding Award.

Produk inovasi tersebut ialah Touchless Covid 19 Medical Trolley (TroVid 2.0)
diketuai Ts Dr Norhashimah Mohd Saad dari Fakulti Teknologi Kejurutetraan Elektrik
dan Elektronik (FTKEE).

Sebuah lagi produk inovasi yang menerima anugerah tersebut juga ialah Social
Distancing Indicator System yang diketuai Ts Dr Zulkeflee Abdullah dari Fakulti
Kejuruteraan Pembuatan (FKP).

Kedua-dua produk inovasi tersebut juga telah berjaya merangkul 2 pingat emas buat
UTeM pada kali ini.

Sementara itu 2 pingat gangsa UTeM diraih menerusi produk Community
Empowerment diketuai Ts Hidayah Rahmalan dari Fakulti Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (FTMK) dan Agility Tool Kit for Family Enterprises (ATTe) During Times
of Crisis yang diketuai Dr Amiruddin Ahamat dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan
Teknousahawanan.

MTE 2021: Covid19 International Innovation Awards yang dijalankan secara dalam
talian itu merupakan anjuran PROTEMP Exhibition and Conferences dan disokong
sepenuhnya oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan beberapa kementerian
berkaitan. – MalaysiaGazette