Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim menunjukkan gambar penjenayah yang dikehendaki ketika sidang media kejayaan menumpaskan "Geng Sakai" yang terlibat melakukan aktiviti jenayah di IPD Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan Geng Sakai yang bergiat aktif dalam kegiatan jenayah, pembunuhan dan pengedaran dadah dengan tertangkapnya 24 ahli kumpulan itu termasuk ketuanya, dikenali dengan nama Sakai, dalam serbuan yang dilakukan di beberapa buah negeri pada Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kumpulan itu juga terlibat dalam pemilikan senjata api dan kekerasan harta benda.

Katanya, kumpulan itu bergiat aktif dalam jenayah terancang serius itu sejak tahun 2012 sebelum memlibatkan diri dengan kegiatan pengedaran dadah.

“Kesemua ditahan dan akan disiasat di bawah bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 130 V iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Bab VIB Jenayah Terancang-Kanun Keseksaan.

“Manakala 18 daripadanya ditahan di bawah Prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA selama 28 hari bermula Ahad lalu dan enam lagi ditahan untuk siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dalam serbuan sama kita membuat rampasan dadah membabitkan 318.6 gram syabu dan 445.5 gram dalam serbuan itu ada rampasan dadah kumpulan itu yang mana enam ahli geng itu akan disiasat di bawah ADB terlebih dahulu sebelum disiasat di bawah SOSMA kemudian,”katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Anggota Polis menunjukkan dadah jenis syabu dan heroin ketika sidang media kejayaan menumpaskan “Geng Sakai” yang terlibat melakukan aktiviti jenayah di IPD Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 JUN 2021.

Menurut Azmi, jumlah keseluruhan rampasan berjumlah RM1.75 juta termasuk wang tunai sebanyak RM21,000 serta lima kenderaan mewah antaranya Porsche Macan, Ford Ranger, Mercedes.

Tambah beliau, siasatan mendapati kesemua suspek berusia antara 14 hingga 57 tahun ditahan operasi bersepadu di ibu negara, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Perak.

Katanya, Pasukan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Bahagian Penggubahan Wang Haram (AMLA) turut menjalankan siasatan ke atas harta yang dimiliki geng jenayah berkenaan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wangh Haram, Pencegahan dan Wang Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001)

“Ketua dan ahli kumpulan Sakai ini pernah beberapa kali dikenakan tindakan atas kesalaham jenayah di bawah kanun keseksaan selain terdapat beberapa ahli kumpulan ini telah ditangkap kerana pelbagai kesalahan jenayah dan dadah dan pernah juga dihukum dibawah Langkah-Langkah Pencegagan Khas.

“Selepas dibebaskan, ketua dan ahli kumpulan jenayah terancang Sakai ini kembali aktif melakukan aktiviti jenayah serius melibatkan kes bunuh, pergaduhan kumpulan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata merbahaya selain kebal dalam pengedaran dadah,” ujarnya.- MalaysiaGazette