Head Grid Maintenance TNB, Kamarol Zaman Razak (dua, kiri) membuat tinjauan kerja-kerja baik pulih pada hari pertama dilaksanakan bermula 4 Mac 2021.

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja membaiki kabel voltan tinggi milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terbakar di kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang pada 22 Februari lalu dijangka siap Jumaat ini.

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin berkata, penyiapan itu merupakan dua minggu lebih awal daripada yang dijadualkan dan komitmen pantas serta berterusan oleh TNB adalah dengan kerjasama pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS.

“Kerja-kerja baik pulih bermula pada 4 Mac 2021 melibatkan penggantian tiga kabel voltan tinggi dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara sepanjang kirakira 1 kilometer.

“Sepanjang tempoh pembaikan, kelancaran trafik di Jambatan Pulau Pinang tidak terganggu sama sekali kerana TNB hanya menggunakan jalan laut. Kerja-kerja pembaikan juga tidak menjejaskan daya harap dan kestabilan bekalan elektrik ke Pulau Pinang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas beliau, TNB menggunakan bot dan baj bagi mengangkat peralatan dan alat ganti, selain melakukan kerja merentang kabel menggunakan baj sepenuhnya.

Kerja-kerja diteruskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 semasa situasi pandemik Covid-19 yang memuncak setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan wabak di tapak kerja, tambahnya.

“Keutamaan TNB ialah memulihkan kerosakan yang berlaku agar pengguna di Pulau Pinang dapat berterusan menerima bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap, selaras dengan nilai teras kami yang mengutamakan pelanggan.

Ketua Pegawai Grid Tenaga Nasional Berhad, Datuk Ir. Husaini Husin.

“TNB berterima kasih atas kerjasama yang diberikan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang; Suruhanjaya Tenaga (Pulau Pinang, Kedah dan Perlis); LLM; PLUS; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Polis Diraja Malaysia dan Penang Port Sdn. Bhd,” ujar beliau.

Katanya lagi, laporan siasatan kejadian sedang disediakan dan akan dimuktamadkan bersama pihak PLUS pada Julai ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast