Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sepakatĀ  tidak akan menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya ia dikemukakan ketika parlimen bersidang.

Mereka berkata, persidangan itu nanti diharap akan menumpukan isu berkaitan rakyat yang kini berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Dalam masa yang sama, katanya, semua ahli parlimen BN sepakat menyokong Pelan Pemulihan Negara yang telah dibentangkan oleh kerajaan sebagai suatu usaha memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak Covid-19.

“Selaras dengan itu, Ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO/BN bersetuju agar Parlimen bersidang semula mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau mengikut apa-apa kesesuaian pindaan yang diperlukan.

“Kami amat mengharapkan sidang Parlimen ini akan dapat memberi tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19. Oleh yang demikian dan bagi menjunjung titah Tuanku supaya suhu politik dapat diredakan maka kami setuju untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan,” kata mereka menerusi kenyataan.

Terdahulu, semua Ahli Parlimen parti itu menjunjung kasih di atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang diadakan pada 16 Jun lalu berhubung keperluan mengadakan persidangan parlimen secepat mungkin serta memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Menurut mereka, semua menteri serta timbalan menteri parti berkenaan akan memastikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugas, khususnya melibatkan tugas dan portfolio yang berkait secara langsung dalam mengekang penularan wabak, pelaksanaan vaksinasi serta pemulihan ekonomi rakyat dan negara.

“Apa yang pasti keutamaan Ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO/BN adalah demi kelangsungan hidup rakyat dengan fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan di samping masa hadapan negara Malaysia,” jelas mereka. – MalaysiaGazette