Adlin Abd Rahman,46, (baju ungu) didakwa empat pertuduhan di Mahkamah Majistret dan Sesyen George Town di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang pekerja pembersihan yang melanggar mati seorang warga emas ketika melarikan diri daripada pemeriksaan polis baru-baru ini didakwa dengan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tiga pertuduhan terhadap Mohamad Adlin Abd Rahman, 46, dilakukan di Mahkamah Majistret manakala satu lagi di Mahkamah Sesyen.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh Teoh Kar Hin, 61, di Jalan Perak, di sini, kira-kira jam 6.45 pagi hingga 6.50 pagi pada 15 Jun lalu.

Mohamad Adlin Abd Rahman,46, (baju ungu) didakwa empat pertuduhan di Mahkamah Majistret dan Sesyen George Town di sini hari ini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Manomani.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Adlin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghalang empat anggota polis ketika menjalankan tugas penjawat awam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di persimpangan lampu isyarat Jalan Perak-Jalan P. Ramlee hingga ke Jalan Batu Uban 2 di antara jam 6.45 pagi dan 7.25 pagi pada hari yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda sehingga RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Bagi pertuduhan berikutnya, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamin ke badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kira-kira jam 5 petang hari yang sama.

Mohamad Adlin didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan di antara dua hingga tiga tahun.

Mohamad Adlin Abd Rahman turut didakwa atas pertuduhan membunuh.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh mengaku tidak bersalah memiliki 12.5 gram heroin berat di Jalan Batu Uban 2 kira-kira jam 7.20 pagi pada hari yang sama selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan tidak kurang sepuluh sebatan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim, manakala tertuduh diwakili peguam R. Puran.

Kedua – dua mahkamah menetapkan 12 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong (tengah) melihat pihak forensik memeriksa kereta yang dinaiki suspek sebelum melanggar mati seorang warga emas di Pulau Pinang baru-baru ini.

Pada 15 Jun lalu MalaysiaGazette melaporkan, polis terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah kereta yang dipandu seorang pemotong rumput susulan bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan polis sebelum melanggar mati seorang warga emas di Jalan Perak di sini.

Tembakan itu dilepaskan berhampiran kawasan perumahan di Jalan Batu Uban 2 di sini iaitu kira-kira lebih tujuh kilometer dari lokasi langgar lari susulan suspek lelaki berusia 46 tahun itu cuba merempuh pihak polis yang mengejarnya. – MalaysiaGazette