Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah bercakap pada sidang media kontroversi bekas tentera Suria duduk bawah jambatan sekeluarga di Persatuan Veteran ATM Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 23 JUN 2021.
Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah bercakap pada sidang media kontroversi bekas tentera Suria duduk bawah jambatan sekeluarga di Persatuan Veteran ATM Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 23 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Pesara tentera, Suria Mohamad Hassan dan keluarganya diberikan tempoh tiga bulan untuk mengubah kehidupan mereka selepas mendapat bantuan daripada pelbagai pihak.

Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, pihaknya percaya Suria mampu membawa keluarganya keluar daripada terus merempat.

“Kita beri tiga bulan kepada Suria untuk melihat kehidupan dia dalam keadaan baik. Tempat berniaga Suria akan diuruskan oleh Ketua Cawangan PVATM Lembah Pantai Datuk Hashim Ibrahim.

“Tiga bulan lagi kita datang jumpa Suria untuk melihat keadaan terkini beliau dan anak-anak dia. Kita telah selesaikan masalah beliau dan terima kasih kepada semua,” katanya dalam sidang media Persatuan Veteran Angkatan Tenteta Malaysia (ATM) Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertuanya, Datuk Shamsudin Abbas.

Sebelum ini, tular kehidupan Suria, 59, bersama isteri, Azariyah Abd Aziz, 43, dan lima anaknya yang tinggal di bawah jambatan Loke Yew dekat sini sejak November 2019.

Suria yang bekerja sebagai penjual buah sebelum ini tinggal di Flat Sri Sabah bersama keluarga mentua.

Namun gara-gara jumlah penghuni yang ramai di situ melebihi 13 orang, memaksa dia membawa isteri dan anak-anaknya tinggal di bawah jambatan.

Nasib mereka berubah apabila Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuh sekeluarga itu akan berpindah ke rumah tetap akhir minggu ini.

Beliau sekeluarga akan ditempatkan di rumah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Bandar Tun Razak. – MalaysiaGazette