Datuk Seri Abdul Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan beberapa sindiket pertaruhan haram perlawanan bola sepak Euro 2020 dalam beberapa serbuan yang dilakukan pihak berkuasa keselamatan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya telah menahan 152 orang dan merampas wang pertaruhan sebanyak RM115,132 dalam 107 serbuan Ops Soga VIII dilaksanakan antara 10 hingga 21 Jun lalu.

Katanya, berdasarkan rekod pertaruhan individu dan sindiket pihaknya mendapati kredit pertaruhan berjumlah RM11,645,227.

“Turut dirampas adalah pelbagai peralatan peranti elektronik yang digunakan untuk aktiviti catit taruh haram seperti 24 set komputer, 11 unit laptop, satu unit tablet, 166 unit telefon bimbit dan lima unit mesin kira-kira dan 12 unit modem.

“Lapan unit router, dua unit printer, 115 bentuk simkad, sembilan keping jadual perlawanan Euro 2020, serta kertas dan 43 keping catitan atau buku yang mengandungi catitan pertaruhan ke atas perlawanan bola sepak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bagaimanapun masih terlalu awal untuk menentukan kejayaan Op Soga VII yang masih berbaki kira-kira 20 hari lagi.

Menurut Abdul Jalil, modus operandi sindiket kali ini agak berbeza yang mana kebanyakan pertaruhan dilakukan secara dalam talian disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bahagian D7 Bukit Aman dan seluruh JSJ kontinjen akan menggandakan usaha dalam pemantauan dan pencegahan ke atas kegiatan catit taruh haram sempena Euro 2020 dan memohon agar orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi bersama membanteras kegiatan yang tidak bermoral ini,” katanya. – MalaysiaGazette