JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar perkenan supaya Dewan Negeri Johor (DUN) bersidang pada 12 Ogos ini.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda berkenan berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat yang akan diadakan di Kota Iskandar, pada tarikh berkenaan.
“Saya mahu semua Ahli Dewan bersatu hati untuk bersidang demi kepentingan rakyat dan Negeri Johor, terutama mengenai pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19 dan menyusun pelan pemulihan ekonomi Negeri Johor dengan sebaiknya.
“Saya berasa amat sedih melihat kehidupan rakyat saya yang dalam kesusahan, ketakutan dan kegelisahan sekarang ini. Saya juga kecewa kerana sehingga hari ini, masalah penularan virus Covid-19 masih belum dapat diselesaikan,” titah Sultan Johor menerusi Facebook baginda.
Baginda bertitah demikian selepas menerima mengadap Menteri Besar Johor, Dato’ Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Penasihat Undang-Undang Johor, YB Tuan Amir Nasruddin pagi tadi.
Sultan Ibrahim turut menerima mengadap Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu, bagi mendapatkan laporan keadaan pendemik virus COVID-19 di Negeri Johor. – Malaysiagazette