TOKYO – Jawatankuasa Olimpik Uganda (UOC) mengesahkan dua atletnya positif Covid-19 di Jepun.
Hujung minggu lalu ketika kumpulan pertama dari sembilan atlet yang ke Jepun untuk menjalani latihan menjelang temasya Sukan Olimpik, seorang jurulatih diuji positif Covid-19 dan diasingkan di Tokyo.
Pasukan yang lain dibenarkan pergi ke kem latihan di kota Izumisano, tetapi menjalani kuarantin ketat.
“Hari ini (Rabu) kami telah mengetahui anggota kedua pasukan Uganda telah positif Covid-19. Anggota itu tidak bergejala dan dijaga oleh pihak kesihatan di bandar Izumisano,” kata kenyataan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung UOC, Beatrice Ayikoru.
Ayikoru berkata, anggota pasukan yang lain dalam keadaan baik dan menyesuaikan diri di Izumisano.
”Kami tetap komited dan fokus untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pasukan kami dan bekerjasama dengan semua pihak yang berkaitan,” tambah Ayikoru, juga Chef de Mission untuk pasukan Uganda.
Juara dunia bagi 10,000m dan 5,000m, Joshua Cheptegei akan memimpin pasukan 26 atlet Uganda di Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung antara 23 Julai dan 8 Ogos.
Stephen Kiprotich adalah atlet Uganda terakhir yang memenangi pingat Olimpik di Sukan Olimpik London pada tahun 2012.
Kirpotich memenangi pingat emas itu untuk acara maraton. – MalaysiaGazette