PANDEMIK Covid-19 yang telah lebih setahun membelenggu dunia dan Malaysia khasnya sememangnya memberi kesan kepada semua golongan.
Tanpa mengira darjat mahupun kedudukan, tiada siapa terlepas daripada terkena tempias Covid-19 apabila pergerakan masing-masing terpaksa dihadkan bagi membendung penularan wabak tersebut.
Di Malaysia lebih 4,000 nyawa telah terkorban akibat jangkitan Covid-19, manakala jumlah kes harian masih tinggi – senario ini tentunya membimbangkan rakyat lantaran semua sektor terpaksa berhadapan suasana sukar.
Para penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan juga tidak terkecuali daripada berhadapan detik-detik getir untuk meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Tempoh perniagaan yang terhad selain keperluan pematuhan penuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) merupakan antara cabaran yang terpaksa diharungi oleh para peniaga dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
Menyedari kepayahan dan kegetiran itu, Kementerian Wilayah Persekutuan merancakkan lagi Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (WBB) yang diperkenalkan oleh Menterinya, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau yang amat prihatin dengan nasib para penjaja dan peniaga kecil mahu semangat ‘berat sama dipikul ringan sama dijinjing’ diterapkan dalam kalangan para peniaga dan juga pihak berkuasa tempatan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Katanya, kerjasama pihak berkuasa tempatan dan peniaga sepanjang waktu susah dan senang amat penting supaya golongan yang terjejas tidak berasa terlalu terhimpit oleh kesan pandemik Covid-19.
Atas semangat itu, Tan Sri Annuar yang sering turun padang meninjau masalah para peniaga kecil membawa khabar gembira buat golongan tersebut.
Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga yang dijadual berakhir pada 1 Ogos berikutan tamatnya tempoh darurat telah dilanjutkan hingga akhir tahun bagi memberi peluang kepada para peniaga kecil terus mencari rezeki.
Katanya, sejak inisiatif WBB dilaksanakan lebih 8,000 peniaga kecil telah mendapat manfaat meraih pendapatan daripada perniagaan di mana-mana lokasi asalkan memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Menurut Tan Sri Annuar, pada peringkat awal inisiatif tersebut diperkenalkan hanya kira-kira 2,000 penjaja yang mengambil bahagian, namun dari semasa ke semasa permohonan yang diterima mencecah angka 8,000.
Mengulas lanjut, beliau turut mengumumkan 4,500 peniaga yang memiliki lesen prihatin penjaja sementara yang sepatutnya tamat tempoh 15 April lalu telah disambung sehingga akhir bulan depan, seterusnya hingga akhir tahun.
Katanya, pengumuman awal itu adalah sebagai galakan supaya penjaja tidak tertanya-tanya tentang kedudukan perniagaan mereka sama ada akan ditamatkan atau diteruskan.
Tentunya membiarkan penjaja dan peniaga kecil dalam kesamaran bukanlah sesuatu tindakan yang wajar lantaran mereka perlu menyediakan persiapan jangka pendek dan jangka panjang bagi mengelakkan kerugian.
Tan Sri Annuar turut menarik perhatian mengenai lesen para penjaja yang disambung secara automatik dan mereka (para penjaja) hanya perlu memasukkan data secara dalam talian.
Dengan kelonggaran itu, para penjaja tidak perlu membayar lesen dan mereka boleh berniaga di tapak perniagaan masing-masing secara percuma.
Namun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) akan meningkatkan pemantauan supaya kedudukan gerai-gerai tidak terlalu rapat sehingga menimbulkan kesesakan, sekali gus melanggar SOP yang bertujuan membendung penularan Covid-19.
Paling penting, katanya, para penjaja perlu memberikan kerjasama menjaga setiap SOP dan tidak tertumpu di tempat yang sesak kerana keadaan itu tidak membantu usaha untuk membendung wabak tersebut.
Sementara itu Tan Sri Annuar berharap bagi baki kira-kira 2,000 penjaja yang tidak mempunyai lesen disebabkan tidak memenuhi syarat tertentu, dapat memberi kerjasama memohon lesen serta mencari tapak yang sesuai.
Beliau turut membawa berita gembira untuk kira-kira 7,000 peniaga di premis-premis bandar raya, pasar dan gerai iaitu mereka hanya perlu membayar 50 peratus daripada kadar sewa.
“Ini sebagai galakan dan membantu dari segi kadar sewa peniaga kecil di premis berbumbung di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur supaya mereka boleh terus berniaga,” katanya.
Menurut Tan Sri Annuar, anak-anak muda yang menyertai program Usahawa Anak Muda Kota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga tidak perlu membuat sebarang pembayaran ruang niaga dan diberikan pengecualian fi lesen.
Katanya, bermula Julai, Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara juga menawarkan program latihan keusahawanan di dalam kelolaan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) di beberapa lokasi perniagaan.
Para usahawan di Wilayah Persekutuan boleh menyertai kursus Go-eCommerce dan memohon bantuan keusahawan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), seperti pembiayaan khas melalui Tekun Nasional serta Bank Simpanan Nasional, Geran Khas Prihatin serta pinjaman mikro bagi usahawan kreatif.
Sebagai pemimpin yang mengambil berat perkembangan semasa para penjaja dan peniaga kecil, Tan Sri Annuar amat menekankan aspek kerja bermuafakat dan tolong menolong terutamanya dalam keadaan semua pihak terkesan akibat pandemik Covid-19 sesuai dengan konsep ‘Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin’ dan ‘kita jaga kita’.
Katanya, berbelas ribu penjaja dan penyewa premis di Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan juga perlu berpegang kepada semangat yang sama.
Beliau juga menasihati para penjaja dan peniaga supaya mendaftarkan diri untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19, dan juga suntikan typhoid supaya tahap kesihatan awam sentiasa terjaga.
“Kesemua inisiatif ini telah mengurangkan pendapatan kepada pihak berkuasa tempatan, namun ketika senang kita bersama, waktu susah pun bersama. Bandar raya dan Perbadanan kena berkorban sedikit agar masalah dapat diselesaikan, semoga rezeki dimurahkan,” katanya. – MalaysiaGazette