JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah nyaris dihempap kayu beluti bumbung rumahnya dalam kejadian ribut di Taman Delima di sini petang kelmarin.
Mangsa, Farhana Yusof, 30, nyaris dihempap apabila kayu beluti bumbung menembusi siling bilik tidur ketika dia cuba menyelamatkan barangan bayi mereka.
Suaminya, Amri Razali, 30, berkata, keadaan itu berlaku selepas hujan lebat berterusan datang dengan angin kencang dan hampir separuh rumah bumbung rumahnya ‘diterbangkan’ ribut, katanya ketika ditemui media di Taman Delima dekat sini hari ini.
Rumahnya paling terjejas teruk akibat kejadian itu di mana hampir keseluruhan bumbung kediaman mereka diterbangkan angin.
Amri berkata, dia dan isteri bagaimanapun bersyukur kerana ketika kejadian bayi mereka yang berusia 18 bulan selamat walaupun menganggapnya kejadian yang mencemaskan.
Selain itu, katanya, bukan sahaja keadaan rumahnya teruk, malah dia juga terpaksa menanggung kerugian apabila cermin belakang keretanya pecah selepas dihempap kayu beluti yang sama.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, sebanyak 40 rumah di kawasan berkenaan rosak akibat dibadai ribut yang melanda selama kira-kira lima minit.
Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati penduduk di kawasan berkenaan sibuk mengemas selain membaiki kediaman masing-masing.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Masitah Khamis yang menyaksikan kejadian itu berkata, ribut yang berlaku terlalu pantas hingga menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan mereka.
Jelasnya, ketika kejadian beliau hanya terdengar berlaku kekecohan selain menyaksikan sendiri bumbung rumah Amir yang juga jirannya tercabut diterbangkan ribut.
“Masa dalam pukul 4 saya tengok bunyi hujan lebat. Saya jengah depan pagar rumah saya lepas tu atap depan pagar rumah saya sudah bergulung-gulung saya dengar macan ada benda terbang-terbang, macam batu-batu terbang lepas itu saya ke dapur saya lihat dalam rumah sudah penuh dengan air.
“Belakang rumah saya atap kena kayu seolah-olah terpacak dalam rumah dan dalam rumah pula sudah banjir,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon, yang meninjau kawasan berkenaan berkata, sebanyak 40 rumah penduduk membabitkan 150 penduduk terjejas dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Yayasan Bandaraya Johor Bahru akan menyalurkan sumbangan segera termasuk bakul makanan selain sebahagian kos membaiki bumbung.
“Saya dimaklumkan Baitulmal juga akan membantu menyalurkan sebahagian kos baiki bumbung kepada 40 rumah terjejas.
“Saya juga akan menyalurkan bantuan segera menerusi Pejabat Parlimen Tebrau membabitkan bakul makanan malah Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Mazlan Bujang juga memaklumkan akan menyalurkan bantuan segera kepada penduduk.
“Penduduk memaklumkan, ini kejadian ribut terburuk dalam tempoh 26 tahun mendiami taman perumahan ini,” katanya.-MalaysiaGazette