Pengarah JAINJ, Datuk Md. Rofiki Shamsuddin berkata, penganjuran majlis itu harus mematuhi sepenuhnya garis panduan majlis akad nikah dalam tempoh PKP 3.0 Fasa 1 dan Pasca PKP 3.0 Fasa 1.
Katanya, majlis akad nikah yang dibenarkan terhad kepada pasangan pengantin yang telah memperoleh surat kebenaran berkahwin dari 1 hingga 28 Jun ini.
“Majlis akad nikah digalakkan untuk ditangguhkan atau boleh dilaksanakan di pejabat JAINJ atau Pejabat Kadi Daerah sahaja terhad kepada beberapa kategori.
“Antaranya pasangan pengantin dan wali berada dalam daerah sama dan pasangan pengantin yang berada dalam daerah yang sama tetapi wali berada di luar daerah atau negeri dengan menggunakan kaedah mewakilkan wali kepada jurunikah atau wakalah wali.
“Turut dibenarkan adalah pengantin sama ada salah seorang atau kedua-duanya berada di luar daerah dalam negeri ini dari tempat majlis akad nikah dengan syarat telah mendapat kebenaran rentas daerah dari pihak keselamatan,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Mengulas lanjut, Md. Rofiki berkata, pasangan pengantin dan wali yang berada di negeri berbeza dan di luar negeri Johor turut dibenarkan dengan syarat telah mendapat kebenaran rentas negeri dari pihak keselamatan.
Jelasnya, mereka juga perlu membuat pemeriksaan saringan Covid-19 di pusat perubatan kerajaan atau swasta iaitu 72 jam sebelum tarikh majlis akad nikah.
Tambahnya, kehadiran majlis akad nikah yang dilaksanakan di Pejabat JAINJ atau pejabat kadi daerah adalah tidak melebihi enam orang meliputi tiga orang terdiri daripada pengantin lelaki dan wanita serta wali dan tiga lagi daripada pihak urusetia.
“Bagi pengantin lelaki yang gagal mendapatkan kebenaran rentas daerah atau negeri, digalakkan untuk menangguhkan pernikahan ke hari yang lain atau boleh melaksanakan pernikahannya secara wakalah iaitu mewakilkan pengantin lelaki kepada pihak lain menurut hukum syarak. Proses wakalah ini perlulah melalui pejabat kadi daerah.
“Bagi wali yang berada di luar negeri Johor atau berada di zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau ada halangan syarie yang menyebabkannya tidak boleh hadir, digalakkan membuat wakalah wali kepada jurunikah melalui borang wakalah wali yang disediakan di Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia,” katanya.
Jelas beliau, tarikh majlis akad nikah ditentukan oleh Pejabat Kadi Daerah semasa permohonan kebenaran nikah dihantar dan majlis hendaklah dilangsungkan seringkas yang mungkin dengan maksimum masa 20 minit sahaja.-MalaysiaGazette