Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, Mohd Sani Mat Daud bercakap kepada Malaysia Gazette mengenai aktiviti perlombongan di Tasik Chini, Pahang. Foto FAREEZ FADZIL, 24 JUN 2021.

PEKAN – Setiap pembangunan yang dijalankan dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar  (KSAS) pada Kategori Dua akan dibuat berdasarkan keputusan laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengarah JAS Pahang, Mohd Sani Mat Daud menjelaskan, ia penting bagi menentukan langkah-langkah pengawalan sekiranya berlaku sebarang masalah.

“Laporan dalam kajian ini akan memasukkan langkah kawalan dan mitigasi-mitigasi bagi mengawal pencemaran dan punca pencemaran yang terhasil daripada aktiviti perlombongan yang akan dijalankan.

“Mengikut perundangan alam sekitar, kerja-kerja perlombongan aktiviti tidak boleh dijalankan sehingga laporan EIA diluluskan,” tegasnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kenyataan itu respon kepada kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang mendakwa kebenaran permit telah diberikan kepada sebuah syarikat untuk melakukan aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini walaupun kawasan berkenaan sedang dalam proses pewartaan sebagai hutan simpan kekal.

Dalam pada itu, Mohd Sani menjelaskan laporan bagi sebuah syarikat, Hanishah Ventures Sdn. Bhd bagi tujuan perlombongan telah dikemukakan pihaknya dan ia masih dalam penilaian alam sekitar oleh JAS.

Dalam kenyataan medianya kelmarin, Fuziah mengharapkan kerajaan Pahang mewujudkan enakmen negeri untuk memelihara status Hutan Simpan Kekal seperti di Selangor mengguna pakai Enakmen Hutan Selangor 2018 (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 –MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast