KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyampai radio, Siti Elizad Sharifuddin, 37, membuat laporan polis berikutan kecewa dengan mulut lancang seorang individu yang mendakwanya mandul baru-baru ini.
Aktres yang diperkenalkan menerusi filem Berlari Ke Langit pada 2004 itu sudah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil, kelmarin.
Dia juga mengheret individu berkenan ke muka pengadilan berikutan menyifatkan komen yang ditinggalkan dalam laman Facebook sebuah portal hiburan melampau sehingga melukakan hatinya.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam laman Instagram (IG), pelakon drama Teman Lelaki Upahan itu berkata, dia jarang melayan komen netizen, namun perkataan mandul yang dilontarkan individu berkenan sangat keterlaluan.
“Saya jarang ambil peduli komen netizen namun perkataan mandul yang ditujukan kepada saya benar-benar membuatkan hati saya terluka.
“Adakah anda tuhan hingga tahu saya mandul dan tidak boleh beranak? Sejujurnya, saya menggigil dan terketar-ketar tangan saat menulis hantaran ini.
“Jantung bagaikan nak tercabut, sedih yang amat sangat. Adakah individu ini suka melihat saya bercerai-berai kerana belum dikurniakan zuriat?” soal Siti Elizad.
“Individu ini tahu ke saya tidak solat? Dia kenal atau pernah bekerja dengan saya ke? Bersedekah, bangun solat malam, mengaji, pakai telekung, atas sejadah? Adakah semua amalan yang dikerjakan perlu dimuat naik dalam laman sosial?
“Lain orang, lain caranya, saya tidak perlukan perhatian bodoh seperti ini. Saya gembira dengan kehidupan sekarang, dikurniakan anak atau sebaliknya, itu kerja Allah. Cuma, tiada siapa boleh sesuka hati menggunakan perkataan mandul terhadap saya,” katanya.
Tambah Siti Elizad, individu yang tidak berhati perut itu tidak tahu kesusahannya berjuang separuh nyawa semata-mata untuk mendapat zuriat.
Katanya, setiap hari dalam solat, air matanya tidak henti mengalir dan tidak putus memohon kepada Allah supaya tidak membiarkan keseorangan, lantaran kecewa masih belum dikurniakan cahaya mata pada usia mencecah 40 tahun.
“Bertahun saya berjumpa dengan doktor pakar dan pergi ke seluruh pelusuk negeri untuk berubat. Cucuk sana sini, sakit tahu tak? Tetapi, senang sahaja menuduh saya mandul hingga menggunakan perkataan kesat terhadap saya.
“Saya dan keluarga tiada perasaan ke? Hanya keluarga nampak kesusahan saya menahan sakit demi berusaha mendapatkan zuriat, tetapi individu ini senang-senang menuduh saya mandul.
“Saya jarang ambil peduli, tetapi saya tidak akan maafkan individu ini, kali ini. Hati saya luluh dan teramat sedih, hanya Allah sahaja yang tahu.
“Selebihnya, kita tunggu tindakan pihak berkuasa selanjutnya. Namun, saya berterima kasih kepada pengikut yang sentiasa sokongan dan kata semangat buat saya. Hanya Allah sahaja dapat membalas jasa mereka,” katanya.
Siti Elizad dan suami, Shamsul Baharin Rahman yang mendirikan rumah tangga pada 11 Januari 2015 pernah menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) pada Oktober lalu, namun mengalami keguguran sebulan kemudian. – MalaysiaGazette