BAYAN BARU – Kegagalan seorang wanita menghubungi kakaknya terjawab apabila wanita warga emas itu ditemui mati di dalam kereta di halaman rumahnya di Solok Kampung Jawa, di sini, hari ini.
Mayat wanita berusia 76 tahun itu ditemui dalam kereta jenis Perodua Axia pada jam 11.25 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kehilangan wanita itu disedari oleh adiknya selepas dia gagal menghubungi kakaknya yang menetap seorang diri sejak tiga hari lalu.
“Selepas menerima laporan kehilangan warga emas itu sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan sebelum menemuinya dalam kereta yang berkunci.
“Kita dapatkan bantuan daripada anggota Bomba dan Penyelamat Bayan Baru untuk mengeluarkan mayat mangsa.
“Bagaimanapun, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan wanita itu sudah meninggal dunia,”katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Kamarul Rizal, tiada sebarang elemen jenayah ditemui di lokasi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette