Parlimen Malaysia menyaksikan pertukaran tiga kerajaan dalam tempoh tiga tahun selepas BN kalah PRU14.

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat boleh dilakukan secara kendiri dengan mengikut syarat syarat ketat pencegahan Covid-19, seperti mana yang telah dilaksanakan pada tahun lalu.

Setiausaha Agung (Penaja) Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Amiruddin Hamzah berkata, ketika itu semua yang menyertai kedua-dua persidangan belum menerima vaksin Covid-19.

Malah senario itu tidak seperti sekarang yang mana hampir semua ahli Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri telah disuntik vaksin manakala pegawai pengiring ahli parlimen pula sedang diusahakan untuk mendapatkan suntikan secepat mungkin.

“Oleh yang demikian, kami ahli-ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat dari Parti Pejuang Tanahair berpandangan yang sidang Parlimen haruslah dilaksanakan segera secara kendiri bagi memenuhi tanggungjawab ahli-ahli parlimen membahas dan memulakan tindakan perlu bagi membawa negara kita keluar dari krisis-krisis kesihatan, politik, ekonomi dan sosial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam dalam kenyataan bersama Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengumumkan Parlimen dijangka bersidang secara hibrid pada akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September.

Bagaimanapun, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ia tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan Covid-19 yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Menurut, Amiruddin, persidangan kedua dua dewan berjaya dilakukan pada tahun lalu tanpa sebarang jangkitan atau kewujudan kluster parlimen. – MalaysiaGazette