Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah bercakap kepada wartawan selepas membuat laporan laporan polis mengenai isu seorang individu yang tidak dikenali di laman sosial video memaki hamun pemimpin negara dan institusi diraja di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 27 JUN 2021.

GOMBAK – Polis disarankan mendapatkan kerjasama Interpol dan kerajaan Jerman bagi menangkap individu bernama Ganesparan Nadaraja berhubung kes menghina pemimpin negara serta insititusi diraja.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah yakin dengan kemampuan pihak berkuasa.

Beliau yang popular dengan nama Kipidap menyatakan kemarahan dengan sikap individu yang bersifat pengecut menghina pemimpin serta insititusi diraja Malaysia dengan berada di luar negara.

“Saya cukup kesal dengan perbuatan individu yang dikehendaki polis bernama Ganesparan Nadaraja yang mengeluarkan kata-kata kesat dan juga memaki hamun pemimpin negara berbilang bangsa serta institusi diraja selain sultan kita.

“Tindakan dia adalah sangat tidak sopan, biadap dan tidak boleh dimaafkan langsung. Tidak salah untuk mengutuk atau mengkritik pemimpin negara tetapi ia perlu secara beradab sopan dan diplomasi bukannya hentam sesuka hati secara membuta tuli.

“Tapi bila diperhatikan sejak awal lagi dia sudah bertindak melampau menularkan video dengan menghasut, serta mencetuskan sentimen perkauman seolah menghasut rakyat berbilang kaum yang kini hidup aman damai dalam negara supaya bergaduh..ini tak boleh dikompromi,” bidasnya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.

Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung isu seorang individu yang tidak dikenali di laman sosial video memaki hamun pemimpin negara dan institusi diraja di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 27 JUN 2021.

Beliau tampil membuat satu laporan polis berikutan penularan video yang memaparkan perbuatan tidak bersopan individu itu bertajuk Vaccine For Malaysia di media sosial.

BACA: Bukit Aman siasat lelaki hasut, hina institusi diraja

Rani Kulup dalam laporan polis itu mendesak Bukit Aman dan Kementerian Dalam Negeri supaya segera menyiasat dan menangkap suspek serta mengheret ke muka pengadilan di dalam negara.

Beliau juga meminta pihak berkuasa melucutkan kerakyatan Ganesparan sekiranya individu itu berada di dalam negara atau jika sebaliknya mencari suspek.

“Kalau benar dia berada di luar negara (Jerman) sila gunakan khidmat Interpol dan kerajaan Jerman untuk tangkap dan bawa dia pulang ke Malaysia dan menghadapkan di mahkamah kita.

“Siasat dia sehingga ke akar umbi dan jatuhkan hukuman maksimum 20 tahun penjara, denda RM500,000 serta 20 sebatan supaya menjadi pengajaran kepada yang lain,” ujarnya.

Beliau memuji Pengarah Jabatan Siastan Jenayah Bukit Aman yang baharu, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan kerana bertindak pantas menyiasat dan menyatakan komitmen PDDRM dalam memburu dan menangkap suspek tersebut.

“Saya ada baca kenyataan beliau (Abdul Jalil) semalam, bahawa pasport suspek telah dibatalkan tahun lalu, ia harus dipuji kerana bertindak pantas.

“Saya mencadangkan supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menggunakan Seksyen 233 yang ada untuk menyekat segera penularan video suspek itu

“Kita setakat ini sudah membuat 20 laporan polis terhadap inidividu ini di seluruh negara dan saya menggesa rakyat supaya buat laporan polis beramai-ramai ke atas individu biadab itu,” katanya sambil menasihatkan warga netizen supaya menggunakan platform media sosial secara berhemah.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dalam satu kenyataannya mengesahkan polis sedang menyiasat video tular oleh suspek Ganesparandi media sosial.

Menurut Abdul Jalil, suspek dalam video tular itu mendakwa vaksin berkualiti rendah  dan tidak berkesan dari China iaitu Sinovac diberikan kepada bukan Muslim manakala vaksin berkualiti seperti Pfizer diberikan kepada masyarakat Muslim dalam video berdurasi  lapan minit 54 saat itu.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman sedang menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 keran mengeluarkan kenyataan yang berunsur menghasut, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mengaibkan ketenteraman awam selain Seksyen 233 AKMM 1998.- MalaysiaGazette