Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan misi bersama agensi penguatkuasaan termasuk peringkat antarabangsa dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan  komited dalam perkara itu secara khusus yang mana mahu memperbaiki kedudukan Malaysia di Tier 2 Watch List menerusi laporan tahunan US Trafficking in Persons (USTIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS).

Katanya, selama tiga tahun berturut-turut iaitu bagi tahun 2018, 2019 dan 2020 – Malaysia diletakkan di Tier 2 Watch List atau senarai pemerhatian dalam laporan tahunan USTIP yang mana beliau tidak selesa melihat kedudukan itu yang tidak menunjukkan perubahan ketara.

“Usaha kita adalah untuk meletakkan Malaysia di Tier 1 seperti yang dicapai oleh negara Singapura dan kita sudah mencapai Tier 2 pada tahun-tahun sebelumnya yang mana untuk itu kita akan memperkukuhkan usaha dengan empat agensi penguatkuasaan iaitu Jabatan Imigresen (Imigresen), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“PDRM bersama empat agensi ini serta Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) akan memastikan usaha ini berkesan dan memberi laporan terbaik kepada JNAS.

“Inilah hasrat saya sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman bagi memastikan negara kita terus diletakkan di posisi yang betul dan yang mana mengikut apa yang digarispandukan oleh agensi yang bertanggungjawab memberi rating atau penilaian ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Jenayah Berat (D9), di Bangunan KPJ hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, antara usaha jitu yang diambnil PDRM dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di dalam negara ini termasuklah penguatkuasaan bersepadu yang lebih tegas dan serius bersama empat agensi penguatkuasaan lain.

Ujar Abdu Jalil, ia merupakan satu usaha berterusan secara unilateral yang ditetapkan dibawah organisasi masing-masing dalam menguatkuasakan Akta ATIPSOM 2007.

“Untuk pengetahuan semua, PDRM telah menetapkan 10 operasi bersepadu dijalankan setiap tahun seperi yang dirancang dalam Perancangan Strategik PDRM 2021-2025 bagi membanteras pihak atau sindiket yang terlibat dalam jenayah tersebut.

Usaha memperkasa operasi bersepadu membabitkan empat agensi berkenaan juga menjadi matlamat dalam National Action Plan on Anti Trafficking in Person 2021-2025 melalui jawatan kuasa penguatkuasaan dibawah Pejabat Strategik Nasional MAPO (NSO-MAPO).

Beliau dalam perkara berkaitan mengakui pengurusan maklumat secara sistematik penting dalam memastikan agensi-agensi berkaitan dapat bertindak secara bersepadu dan lebih efisien selain sistem kordinasi pengurusan perkongsian maklumat yang efektif.

Tegas beliau lagi, PDRM turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa organisasi penguatkuasaan antarabangsa sebagai salah satu strategi mantap memerangi jenayah penyeludupan migran secara holistik dan berkesan.

Kata Abdul Jalil, ia termasuk mewujudkan satu platform kerjasama antara PDRM dan agensi penguatkuasaan di negara ASEAN berbentuk police to police (P to P) yang diwujudkan menerusi Mesyuarat bilateral Program Asean-Australia Counter Trafficking (ASEAN-ACT).

Selain itu, PDRM juga bekerja rapat dengan Australian Federal Police (AFP), New Zealand Police, Royal Canadian Mounted Police (RCMP), Homeland Security Investigation Amerika Syarikat (AS) dan lain-lain.

“Kita juga berhubung rapat dengan beberapa pertubuhan antarabangsa yang menangani jenayah pemerdagangan orang seperti International Labour Organization (ILO) dan United Nation Office on Drugs and Crime (UNODC) dan juga beberapa NGO di dalam negara kita sendiri yang banyak menyalurkan maklumat selain mewujudkan kesedaran awam berhubung jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.- MalaysiaGazette