KUALA LUMPUR – Peningkatan kes bunuh diri akibat tekanan dan kemurungan akibat pandemik Covd-19 dari hari ke hari semakin membimbangkan.
Malah peningkatan kepada kes bunuh diri ini sebagai satu petanda amat buruk kepada kehidupan rakyat, dakwa Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.
Jelas beliau, apa yang lebih membimbangkan selain peningkatan angka kes Covid-19 ialah pertambahan pesakit mental dan kemurungan atas pelbagai faktor.
“Amat menyedihkan bila banyak sangat kes bunuh diri sejak akhir-akhir ini. Saya sendiri langsung tak berani tengok video viral berkaitan insiden-insiden dalam media media sosial.
“Tapi itulah hakikatnya betapa kritikal situasi sekarang ini sehingga tahap ada yang hilang pertimbangan dan ambil jalan singkat.
“Sepatunya kerajaan sudah bersedia dengan pelbagai bantuan untuk rakyat ‘semalam’, bukan baru hendak ‘gelabah’ rancang untuk umum dalam masa terdekat atau guna ayat secepat mungkin, tolonglah,” katanya hari ini.
Sebanyak 111 kes bunuh diri dalam tempoh 17 bulan di P. Pinang
Lewat petang semalam seorang pengusaha restoran ditemui mati dengan menggantung diri di premis perniagaannya di Kemaman, dipercayai mengalami masalah kewangan.
Manakala pagi tadi seorang lelaki berusia 57 tahun bertindak menggantung diri di jejantas di Lebuhraya SILK, Taman Impian Ehsan, Balakong.
Di Pulau Pinang pula sebanyak 111 kes bunuh diri dilaporkan dalam tempoh 17 bulan bermula Januari 2020 hingga Mei lalu.
Kata Zahida lagi, masyarakat perlu juga memainkan peranan dalam memastikan golongan ini mendapat segera bantuan yang diperlukan dengan segera termasuklah sesi kaunseling agar perkara tidak diingini dapat dielakkan kelak.
“Sama-sama kita ambil berat dan pantau saudara mara, jiran dan sekeliling. Bertanya khabar dan bantu sesama sendiri yang memerlukan dengan segera sementara tunggu bantuan dari kerajaan ‘dalam masa terdekat’,” ujarnya. – MalaysiaGazette