Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

KUALA LUMPUR – Pencapaian 22 universiti tempatan yang memasuki senarai penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2022 membuktikan kualiti pendidikan tinggi negara bertaraf dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pencapaian membanggakan itu memperlihatkan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan kini berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan universiti antarabangsa.

Beliau berkata, diharap masyarakat di negara ini terus yakin dengan IPT tempatan sama ada awam atau swasta kerana dalam konteks kualiti, pihaknya akan sentiasa memantau dan mengawal selia.

Katanya, persepsi universiti luar negara lebih berkualiti daripada tempatan sudah tidak relevan kerana penarafan yang dikeluarkan QS menyaksikan IPT tempatan setara dengan penyedia pendidikan tinggi global.

“Dulu mungkin kita masih ketinggalan kerana jumlah universiti tempatan masih sedikit dan kualitinya belum seperti sekarang membuatkan masyarakat berlumba-lumba untuk menghantar anak ke luar negara.

“Bagaimanapun, dalam konteks kualiti, kini kita sudah setaraf dengan IPT antarabangsa, malah ada beberapa universiti kita lebih baik daripada IPT luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pencapaian IPT tempatan dalam senarai penarafan QS World University Rankings 2022 yang diumumkan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, lebih membanggakan apabila universiti tertua negara, Universiti Malaya (UM) terus berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia.

Beliau berkata, bukan mudah untuk terus kekal di kelompok terbaik, namun UM sudah membuktikannya sejak empat tahun berturut-turut dan berada pada kedudukan lebih baik berbanding kebanyakan IPT luar negara.

“Tahniah diucapkan kepada lima universiti penyelidikan negara iaitu UM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kerana kekal di kelompok 200 terbaik dunia.

“Selain lima universiti penyelidikan yang sudah memperoleh status swaakreditasi, IPT lain dengan status sama turut membanggakan kerana tersenarai dalam penarafaan kali ini iaitu Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Multimedia (MMU).

“MQA akan memastikan kualiti pendidikan tinggi di IPT tempatan sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast