LANGKAWI – Lelaki warga Thailand dilaporkan hilang semasa mencari siput di pantai Pasir Berdengung, di sini ditemui mati oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.
Mayat Chamlong Onthari, 54, ditemui pasukan penyelamat pada jam 11 pagi kira-kira satu batu nautika dari lokasi barang miliknya ditemui.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang juga pekerja mencari siput itu dilakukan sebaik sahaja penyelianya membuat laporan kehilangan lelaki itu pada jam 3.03 petang semalam.
Kata beliau, hasil siasatan mendapati mangsa turun ke kawasan persendirian itu seorang diri bagi mencari siput ketika air surut.
“Operasi pencarian mangsa disambung pagi tadi pada jam 8.30 pagi dan pencarian melibatkan di air serta persisiran pantai.
“Selepas pencarian hampir tiga jam, mayat mangsa berjaya ditemui dalam keadaan terapung dan lengkap berpakaian.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan luar dan terdapat satu jaring di bahagian tubuh mangsa yang dipercayai digunakan untuk meletakkan siput,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Shariman, mayat mangsa dibawa ke pos kawalan sebelum disahkan oleh majikannya.
“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliah untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 12 tengah hari tadi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette