Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

KUALA LUMPUR – Permohonan kerajaan untuk melucut hak harta bernilai hampir RM16 juta milik keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim akan didengar pada 8 Oktober depan.

Prosiding itu sepatutnya diadakan hari ini terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih lagi berkuatkuasa ketika ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menangguhkan kes lucut hak itu dan didengar pada bulan Oktober nanti pada sesi pengurusan kes secara talian hari ini.

Selain itu, hakim turut membenarkan permohonan peguam mewakili keluarga Abdul Azeez untuk memfailkan afidavit tambahan dalam tempoh sebulan dan pemohon untuk membalasnya.

Prosiding hari ini turut disertai dua timbalan pendakwaraya, Aslinda Ahad dan Nik Haslinie Hashim mewakili pihak kerajaan selaku pemohon selain peguam Freddy Choy hadir mewakili Maybank Islamic Berhad selaku pihak berkepentingan.

Pada September 2019 lalu, berdasarkan senarai klausa dalam laman sesawang e-pemfailan, kerajaan memulakan prosiding untuk melucut hak wang itu daripada akaun peribadi TH milik isteri Abdul Azeez iaitu Datin Seri Khadijah Mohd Noor.

Selain itu turut terbabit ialah empat anak mereka iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa, Khaleeda Azeera dan akaun syarikat milik mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

Permohonan melucut hak itu difailkan pihak pendakwaan terhadap ahli keluarga Abdul Azeez pada September 2019 manakala mereka memfailkan permohonan untuk penangguhan pada Januari 2020. -MalaysiaGazette