Datuk Seri Rina Harun. foto SYAFIQ AMBAK, 28 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengambil berat dan mengambil kira bantuan kepada semua lapisan masyarakat menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Ketuanya, Datuk Seri Rina Harun berkata, antara perkara utama yang dibangkitkan oleh rakyat telah dipenuhi oleh kerajaan yang mana moratorium automatik selama enam bulan amat membantu kepada peminjam individu dari B40, M40, T20 dan usahawan mikro.

”Kedua adalah i-Citra di mana penyumbang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja boleh mengeluarkan RM1,000 setiap bulan selama lima bulan dari simpanan mereka bagi membiayai kehidupan yang mendesak ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan juga telah mengembangkan bantuan dan peluang perniagaan secara digital untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana meneruskan perniagaan mereka.

Jelas beliau, lebih banyak peluang pekerjaan akan dicipta melalui Pakej Pemulih yang akan memberi peluang kepada anak muda dan wanita untuk bekerja.

Menurutnya, Srikandi bersyukur kerana kerajaan juga prihatin dengan tidak mengenepikan kesan psikologi, tekanan mental dan emosi yang melanda rakyat.

”Bantuan Talian Kasih dan psiko-sosial diperuntukkan melalui NGO- NGO untuk menangani isu sosial, mental, gelandangan di semua peringkat komuniti akan dapat meredakan tekanan yang dihadapi oleh ketua keluarga, wanita dan anak-anak.

“Pakej Pemulih, Srikandi bersedia memainkan peranan yang aktif membantu Kerajaan dari segi menyediakan khidmat psiko-sosial, latihan perniagaan online, sokongan dan gerak kerja kemasyarakatan untuk mengembalikan semangat dan memberi dorongan kepada rakyat agar dapat kembali hidup sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast