Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan calon-calon petugas kesihatan yang akan dilantik secara kontrak untuk bertugas di Hospital Medan ATM bagi membantu membendung penularan wabak Covid-19 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Sabah tidak patut melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan),  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, semua negeri sepatutnya melaksanakan satu standard SOP sahaja.

Bagaimanapun katanya, kerajaan membenarkan negeri yang ingin menambahbaik dan mengetatkan SOP, bukan sebaliknya.

“Kita sudah memutuskan mesti ada satu standard SOP untuk seluruh negara, jadi negeri-negeri tidak sepatutnya membuat SOP mereka sendiri yang berbeza-beza, mesti sama.

“Jadi kalau kita kata kedai makan buka dari 6 pagi hingga 10 malam ada yang kata 6 pagi hingga 8 malam kita tidak membantah tapi kalau nak lanjutkan sudah melonggarkan lebih dari apa yang diputuskan oleh pusat jadi kita tidak boleh melonggarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum sesi ramah mesra bersama pegawai dan kakitangan perubatan yang dilantik secara kontrak oleh Angkatan tentera Malaysia (ATM) di Auditorium Hospital ATM Tuanku Mizan hari ini.

Semalam, dilaporkan kerajaan Sabah melaksanakan Fasa Pertama PPN membenarkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi antaranya makan di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel, gerai-gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan raya serta kedai gunting rambut.

Ketua Menterinya, Datuk Hajiji Noor berkata, aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal turut dibenarkan.

Di samping itu, aktiviti pembuatan dan perkilangan yang dibenarkan beroperasi juga akan diperluaskan kepada getah, simen dan cat, selain kilang berasaskan kayu dan perabot.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, wakil kerajaan negeri Sabah telah dimaklumkan tentang standard SOP yang perlu dipatuhi ketika sidang khas MKN yang berlangsung semalam.

“Kita sudah maklumkan kepada wakil kerajaan Sabah waktu sidang khas MKN semalam bahawa Sabah pun mesti sama dengan setiap negeri dalam negara, Sabah tidak boleh berbeza sedangkan negeri lain ikut SOP yang dikeluarkan,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast