Akibat melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), seorang lelaki terpaksa dirawat di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru kerana cedera parah setelah merempuh penghadang jalan dan kawat duri semalam.

MERSING – Akibat melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), seorang lelaki terpaksa dirawat di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru kerana cedera parah setelah merempuh penghadang jalan dan kawat duri semalam.

Menurut Pegawai Daerah Mersing, Mohd Radzi Mohd Amin, lelaki terbabit dipercayai telah cuba keluar dari kawasan kampung yang dikenakan PKPD dengan menaiki motosikal pada pukul 9 malam.

Namun cubaannya gagal sebaliknya dia terlanggar penghadang jalan dan kawat duri sehingga luka parah di bahagian leher dan muka.

“Siasatan polis mendapati lelaki berusia 27 tahun itu berasal dari salah sebuah kampung dalam kawasan PKPD. Dia menunggang motosikal seorang diri telah keluar dari rumahnya untuk keluar dari kawasan PKPD dan telah melalui jalan yang ditutup dengan penghadang jalan dan kawat duri.

“Mungkin dalam keadaan tergesa-gesa dan gelap, dia merempuh penghadang jalan dan kawat duri yang dipasang hingga menyebabkan luka parah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Radzi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Mersing menggesa orang ramai terutama di kawasan PKPD agar mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan mencegah merebak pandemik Covid 19.

Empat buah kampung telah dikenakan PKPD iaitu Kampung Makam, Kampung Benaung, Kampung Tanjung Genting dan Kampung Sawah Dato bermula 22 Jun hingga 5 Julai ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen  43(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dan akan di kompaun di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana keluar dari rumah atau kawasan PKPD tanpa alasan yang munasabah.- MalaysiaGazette