Anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjaga pintu laluan masuk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 1 Julai hingga 14 Julai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Block Mentari Court, Sungai Way. Foto MOHD ADZLAN, 01 JULAI 2021.

PETALING JAYA – Penduduk Mentari Court, di sini, yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) akan mula menerima vaksin bermula Ahad ini.

Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar berkata, pihaknya akan melakukan pengesanan kontak rapat terlebih terhadap kira-kira 17,000 penduduk di kawasan kediaman tersebut pada Jumaat ini yang membabitkan 3,469 unit kediaman sebelum menjalankan ujian saringan Covid-19.

“Selepas keputusan ujian saringan penduduk berkenaan diterima, barulah kami akan memulakan pemberian vaksin kepada semua individu dewasa termasuk warga asing di Mentari Court yang juga kontak rapat serta negatif Covid-19 bermula 4 Julai ini.

Antara bantuan bekalan keperluan makanan yang disediakan untuk penduduk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 1 Julai hingga 14 Julai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Block Mentari Court, Sungai Way. Foto MOHD ADZLAN, 01 JULAI 2021.

“Manakala bagi individu atau penduduk PKPD Mentari Court yang dijadualkan menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar, mereka akan diminta untuk menunda tarikh temu janji masing-masing dan akan dimasukkan dalam senarai penerima vaksin di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau perlaksanaan PKPD di Mentari Court bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Hadir sama Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Petaling, Dr. R. Sudeash.

Seramai 346 pegawai dan anggota terbabit terdiri daripada Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terlibat dalam pelaksanaan PKPD di kawasan tersebut.

Tambah Johary, selain saringan Covid-19, Mentari Court juga akan menjadi modul perintis bagi pemberian vaksin dalam kawasan PKPD di Selangor.

Menurutnya, inisiatif itu penting bagi memastikan usaha kerajaan mendapatkan imuniti berkelompok tercapai memandangkan penularan Covid-19 sudah ada dalam komuniti.

Antara bantuan bekalan keperluan makanan yang disediakan untuk penduduk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 1 Julai hingga 14 Julai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Block Mentari Court, Sungai Way. Foto MOHD ADZLAN, 01 JULAI 2021.

Sementara itu, Johary memberitahu, pihaknya akan mengagihkan 3,500 bakul makanan keperluan asas yang disumbangkan oleh Perbadanan Pertanian Negeri Selangor kepada penghuni Mentari Court bermula hari ini.

“Pengedaran bakul makanan itu yang diuruskan oleh JKM akan laksanakan sebelum ujian saringan dijalankan bagi memastikan semua penghuni di kawasan PKPD ini tidak mengalami kesulitan dalam mendapatkan bekalan makanan setiap hari tanpa gangguan.

“Pemberian bakul makanan itu mengandungi beras, gula, tepung dan lain-lain sebagai bekalan makanan penduduk sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan selain mereka juga boleh mendapatkan bekalan makanan dengan membeli di kedai runcit di dalam kawasan pangsapuri itu yang akan dibuka sepanjang tempoh PKPD nanti,” katanya.

Tambah beliau, selain itu penduduk juga dibenarkan menerima barang keperluan dari pihak luar. – MalaysiaGazette