LONDON – Everton mengesahkan kelab itu telah melantik bekas pengurus Liverpool, Rafa Benitez sebagai pengganti Carlo Ancelotti.
Sebelum ini nama Benitez telah dikaitkan dengan jawatan tersebut walaupun peminat Liga Perdana Inggeris sukar mempercayai kerana pengurus itu mempunyai pertalian yang kuat dengan Liverpool.
Namun pelantikan itu mengundang kontroversi dengan beberapa sepanduk dikibarkan di luar kompleks kelab dengan mesej keras tidak mahukan Benitez di Goodison Park.
Polis Merseyside turut merampas banner yang diletakkan di rumah Benitez dan menyiasat beberapa banner yang berbaur ancaman.
Benitez memiliki rumah di Liverpool dan keluarganya turut menetap di sana.
Dia begitu signifikan dengan Liverpool selepas berjaya membawa pasukan tersebut membuat kejutan menjadi Juara Eropah pada 2005 menewaskan salah satu pasukan terbaik dalam sejarah iaitu AC Milan di dalam kebangkitan Istanbul.
Pada 2006, Benitez membimbing Liverpool menjulang Piala FA dan mara ke final UCL sekali lagi pada 2007.
Kali ini Milan membalas dendam kekalahan mereka.
Benitez merekodkan 126 kemenangan daripada 228 aksi EPL bersama Liverpool, dan rekod itu hanya diatasi Klopp pada Disember 2020.
Benitez meluangkan masa enam tahun di Anfield dan dipecat pada 2010.
Dia kemudian menguruskan kelab seperti Inter, Real Madrid, Chelsea, Napoli dan Newcastle.