Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Profesor Datuk Dr Raha Abdul Rahim

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) diberi mandat melaksanakan program latihan keusahawanan lepasan graduan kelahiran negeri Melaka melibatkan dana berjumlah RM1.05 juta.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim berkata dana program berimpak nasional itu diterima daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi program di bawah dana Penjana KPT-Career Advancement Program@State (KPT-CAP@State).

Beliau berkata program itu ditawarkan kepada anak Melaka lepasan diploma atau ijazah dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti seluruh Malaysia.

“Sebanyak empat program akan dilaksanakan iaitu Program Agropreneur Muda, Transformasi Perniagaan Kepada Program e-Dagang, Rahsia Cara Menubuhkan Perniagaan Pengeluaran Percetakan dan Rahsia Cara Perniagaan Dalam Talian dan Pemasaran Seperti Pro.

“Program ini juga akan dijalankan dengan kerjasama bersepadu bersama Institut Tun Perak dan dilihat bakal memberikan manfaat besar kepada kepada golongan sasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan UTeM merangkap Pengarah Program Dr Khairuddin Osman berkata pelaksanaan program berkenaan dijangka dilaksanakan pada Ogos depan setelah sempurna perolehan berkaitan.

“Setiap program akan dijalankan selama 14 hari dan pelaksanaannya berlangsung di sekitar Melaka.

“Sebanyak 200 peserta kursus latihan ini bakal menerima Sijil Kompetensi Profesional, bimbingan mendaftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Skim Pinjaman Mikro Kredit kepada yang layak,” katanya.- BERNAMA